BERSAMA Pengarah Pusat Kajian Kemiskinan Pembangunan yang juga Ketua Jabatan Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sulochana Nair
Usaha kerajaan tingkat ekonomi bantu semua kaum jalani hidup lebih selesa
KERAJAAN amat komited melaksanakan program membasmi kemiskinan sejak 1970-an lagi. Sejauh mana senario kemiskinan di negara ini sekarang?
Melihat kepada statistik, jurang kemiskinan di negara ini sudah jauh berubah. Sebelum ini, kurang 50 peratus penduduk diiktiraf golongan miskin, pada sekitar 1970-an. Kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 52.4 peratus pada 1970-an kepada 5.3 peratus pada 2004. Kemiskinan tegar secara keseluruhan ialah pada purata 1.2 peratus, iaitu 0.4 peratus di bandar dan 2.9 peratus di luar bandar. Kerajaan pula mensasarkan pengurangan tiga peratus kadar kemiskinan menjelang 2010. Ada beberapa isu berkaitan kemiskinan, iaitu kemiskinan tegar dan relatif. Sebelum Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), cara mengukur bagi menentukan garis kemiskinan juga sudah bertukar. Kaedah baru mengukur kadar kemiskinan adalah berdasarkan isi rumah (ia adalah faktor yang mempengaruhi), keperluan makanan mengikut gender dan umur.
Pendapat anda mengenai penubuhan jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu kemiskinan membabitkan kaum?
Ini adalah satu yang baik dan menunjukkan komitmen kerajaan dan mempamerkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah pemimpin yang amat prihatin terhadap isu ini dan sekali gus menjadi pembuka jalan untuk memastikan soal kemiskinan semua rakyat pelbagai kaum dapat dibanteras tanpa ada kepentingan tertentu. Ketika ini, keseluruhan kemiskinan yang dicatatkan pada 2004, membabitkan Bumiputera ialah 8.3 peratus, Cina (0.6 peratus) dan India (2.9 peratus). Jika dilihat daripada statistik kadar kemiskinan Bumiputera di bandar ialah 4.1 peratus; Cina (0.4) dan India (2.4) manakala di luar bandar bagi Bumiputera 13.4 peratus ; Cina (2.3) dan India (5.4). Daripada statistik itu menunjukkan bahawa jurang kemiskinan keseluruhan bagi Bumiputera ialah 2.1 peratus, berbanding Cina (0.1) dan India (0.6).
Sejauh mana anda melihat kesungguhan kerajaan dalam menangani isu kemiskinan?
Kita dapat lihat komitmen itu menerusi dasar dan polisi yang dilaksanakan terhadap isu ini sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kemiskinan adalah isu yang penting menerusi dasar itu. Sehingga kini komitmen kerajaan tidak pernah berubah mengenai isu ini. Segala dokumen dirangka bagi menekankan kepada kemiskinan dan bukan agenda atau tidak saja hanya retorik, sebaliknya ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Ini turut dibuktikan menerusi peruntukkan jangka pendek dan panjang. Apabila melihat daripada perbelanjaan itu, ia dapat dilihat secara langsung dan tidak langsung. Sebagai contoh, pembinaan hospital, sekolah atau rangkaian sistem jalan raya ia sebenarnya bertujuan menyumbang ke arah mengurangkan kemiskinan. Banyak program dan projek kemiskinan dilaburkan dan ditumpukan khusus kepada golongan miskin.
Bagaimana anda melihat program pengisian dilaksanakan dan apakah kelemahannya?
Secara keseluruhan kadar kemiskinan menurun. Memang ada golongan terkeluar daripada takrif kemiskinan, bagaimanapun pada masa sama ada golongan baru yang masuk kepada tarif itu seperti kehilangan pekerjaan (kemudian menganggur), kesihatan, ketua isi rumah meninggal.
Ada beberapa program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan, gagal mencapai matlamatnya. Ini memperlihatkan wujud kelemahan tertentu antaranya program disediakan kurang kukuh serta penumpuan terhadap golongan sasaran. Oleh itu, pada masa ini, apa yang perlu dibuat ialah kita perlu tumpu kepada pembasmian terhadap kumpulan sasar dan perlu tahu apa sebenarnya kehendak kumpulan itu. Kita dapati golongan miskin ini bukan golongan hemogenius dan ciri mereka berbeza. Kita tidak tahu mengapa sesuatu keluarga itu menjadi miskin. Kita perlu melihat secara keseluruhan, mungkin sesuatu kumpulan memerlukan sekolah yang dekat, ada pula kumpulan lain perlu jalan raya, kumpulan lain memerlukan saluran pasaran dan apakah sumber pendapatan utama mereka. Bagi petani perlu mengetahui saiz tanah yang dikerjakan, hak milik tanah (sama ada tanah itu mereka punya atau disewa). Menerusi kaedah itu, satu program lebih komprehensif serta strategi tepat perlu dilakukan bagi setiap golongan sasar. Pendekatan membasmi kemiskinan untuk Orang Asli, nelayan dan petani adalah berlainan. Apa yang dilihat pada peringkat akar umbi, mereka tidak tahu apakah hak atau keistimewaan yang diperoleh dan apakah bantuan yang dikeluarkan kerajaan untuk mereka. Sebenarnya kerajaan sudah melakukan banyak projek membasmi kemiskinan, tetapi maklumat tidak sampai kepada golongan sasaran kerana sebilangannya tidak terdedah kepada maklumat itu. Justeru, perlu melakukan pemantauan rapi dan pelaksanaan yang lebih cekap dan penyaluran maklumat dengan betul. Perkara tidak dapat dielak, sebilangan golongan miskin tidak sanggup menanggung risiko. Mereka tidak yakin untuk berubah.
Sejauh mana relevan penubuhan Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan serta penubuhan Kursi Prof Ungku Aziz terhadap program kemiskinan dilaksanakan kerajaan?
Pusat ini ditubuhkan 9 November 2006. Penubuhan pusat ini dianggap tepat pada masanya bagi memberi sokongan dalam membantu kerajaan menangani isu kemiskinan. Pusat ini juga diberi mandat yang banyak termasuk menjadi pusat tumpuan untuk menjalankan kajian khas mengenai kemiskinan pada peringkat tempatan, selain diberi tanggungjawab pada peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memberi input kepada kerajaan dan semua aktiviti di pusat ini dimaklumkan kepada jemaah Menteri. Pusat ini menjadi mekanisme yang menggabungkan di antara pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dan akademik untuk menganalisis, membincang serta memberi input terhadap senario kemiskinan di negara ini.
Kita buat kajian dan agensi kerajaan akan merangka program tertentu. Kita akan sebarkan fungsi dan peranan pusat secara meluas termasuk di luar negara supaya apa yang kita lakukan, khususnya kejayaan projek kemiskinan dapat dijadikan model di negara lain. Dalam seminar yang dianjur pusat ini, kita menjemput pertubuhan koperasi. Satu daripadanya adalah Koperasi Orang Asli. Projek pertama dilakukan pusat ialah membantu memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada Koperasi Orang Asli ini menerusi kerjasama dengan pertubuhan koperasi di UM. Antara programnya memberi khidmat nasihat serta mencari rakan kongsi di kalangan pihak berminat membangunkan eko-pelancongan di Kampung Tongkah, Banting, Selangor. Oleh itu, UM akan membantu perkenalkan kawasan itu di dalam UM Travel sebagai pusat pelancongan berpotensi bagi menarik pelancong dengan menawarkan pelbagai aktiviti kebudayaan Orang Asli di situ, selain menternak ayam kampung dan kambing. Kita mengenal pasti banyak tanah rizab Orang Asli. Ini kita gunakan untuk dijadikan kawasan pertanian dengan menanam kunyit dan serai. Kita menjadi 'watch dog' memantau perjalanan dan kepentingan koperasi itu tidak tergugat. Bentuk bantuan adalah memantau dan memasuki setiap perbincangan. Kita tidak buat secara percuma. Selain itu, projek membasmi kemiskinan turut dilakukan bersama NGO untuk membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang tercicir. Kita bagi mereka latihan dalam bidang tertentu supaya lebih berdaya saing.
Setakat ini, di mana tumpuan kajian mengenai kemiskinan yang dijalankan oleh pusat ini?
Setakat ini, pusat ini sudah menjalankan sebanyak 20 kajian berkaitan kemiskinan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO). Antaranya, menjalankan kajian mengenai Koperasi dan Kemiskinan Bandar; Kesan Dasar Awam ke atas Pengagihan Pendapatan dan Pertumbuhan; Kemiskinan Aktiviti Ekonomi dan Strategi Kehidupan Dari Segi Gender di Sarawak; Penilaian
Keberkesanan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar di Kalangan Nelayan di Malaysia dan Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga. Menerusi kajian itu, pelbagai program diatur bagi memastikan matlamat membasmi kemiskinan dapat dilakukan. Selain itu, lapan lagi projek kajian dengan kerjasama EPU dan universiti tempatan dalam bidang pendidikan akan dijalankan.
Semua kajian yang dijalankan itu akan dikumpul dan kemudian dianalisis sebelum sebarang tindakan diambil untuk membasmi kemiskinan.
Apakah strategi baru yang difikirkan pusat untuk menangani isu ini? Kita selalu ada mesyuarat dengan EPU dan menerusi bengkel diadakan, banyak idea diperoleh.
Kerjasama untuk meningkatkan pembangunan kapasiti serta membangunkan komuniti golongan sasar termasuk murid sekolah yang tercicir untuk memberikan mereka kemahiran hidup. Dalam setiap kajian, kita akan cadangkan untuk dimasukkan dalam dasar kerajaan.
Melalui kajian itu, kita kenal pasti kelemahan dan kaedah memperbaikinya. Jurang kemiskinan antara penduduk bandar dan luar bandar juga sepatutnya dikaji sama ada ia menjadi lebih luas dari semasa ke semasa atau sebaliknya. Kita juga mempunyai Dasar Pertanian dan kita kaji apakah kesannya. Menerusi kajian itu kita meminta cadangan daripada pakar akademik. Setiap kajian yang dilakukan pada masa depan perlu ada direktori apakah jenis kajian yang dibuat.
Pakar ekonomi dunia, Prof Dr Jeffery Sachs dilantik pemegang kerusi pertama Kursi Ungku Aziz. Sejauh mana pelantikannya memberikan manfaat dalam konteks Malaysia dari segi pembasmian kemiskinan?
Ternyata pelantikan Dr Sachs dari Amerika Syarikat adalah tepat kerana beliau adalah pakar ekonomi dunia. Berdasarkan biodata, beliau adalah penasihat kepada bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan. Beliau dikenali menerusi kajiannya mengenai pembangunan dan kemiskinan. Ketika ini, beliau giat menjalankan kajian mengenai kemiskinan di benua Afrika.
Ketika di Malaysia, beliau turun padang dengan mengadakan lawatan ke beberapa penempatan yang dikategorikan sebagai miskin termasuk di Sabah, Kelantan dan Kedah selain di kawasan penempatan Orang Asli. Di samping itu, beliau berkongsi banyak pengalamannya mengenai projek pembasmian kemiskinan di Afrika Selatan.
Malah, menerusi lawatan pertama dan keduanya di negara ini, beberapa dialog serta perbincangan mengenai isu terbabit diadakan dengan EPU, Fakulti Perubatan UM mengenai penyakit.
Harapan anda dengan penubuhan pusat ini?
Kami mahu diiktiraf sebagai pusat terkenal di dalam negeri dan antarabangsa. Pusat yang menjalankan penyelidikan bertaraf tinggi serta terkemuka di dunia dalam kajian kemiskinan dan pembangunan. Kita ingin pusat ini menjadi tumpuan dan rujukan bukan saja oleh pihak kerajaan, malah swasta serta NGO di dalam dan luar negara. Dengan penubuhan pusat ini serta peruntukkan RM20 juta, kita berharap isu kemiskinan yang selama ini membelenggu masyarakat di negara ini dapat diperbaiki dan sekali gus dapat memberi kesan yang terbaik terhadap golongan sasar.
Menjadi hasrat pusat untuk mengurangkan penderitaan golongan miskin dan ia dilaksanakan tanpa mengira kaum. Kewujudan pusat ini juga mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa, ada negara luar ingin bekerjasama dengan kami iaitu Uzbekistan, Bangladesh dan Afrika Selatan. Mereka ingin menjalankan kajian dan bertukar pengalaman berkaitan isu kemiskinan.
Monday, February 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment