Monday, February 4, 2008

MHN mesti tegas lindungi kepentingan pengguna

PENUBUHAN Majlis Harga Negara (MHN) dilihat sebagai satu lagi kesungguhan kerajaan untuk melindungi kepentingan masyarakat pengguna daripada terus menerus menjadi mangsa manipulasi harga dan bekalan barang.

Di bawah MHN, tiga inisiatif bakal diwujudkan iaitu Stok Penimbal Kebangsaan, Pusat Panggilan Kebangsaan dan Kumpulan Pakar. Memandangkan majlis ini dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, justeru rakyat secara keseluruhannya mengharapkan ia dapat memberikan impak seperti yang diuar-uarkan ketika penubuhannya diumumkan 9 Januari lalu.

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Hamdan Adnan berpendapat MHN perlu disokong undang-undang untuk memastikan keberkesanannya. Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan MHN, beliau berpendapat, tanpa undang-undang, MHN tidak ada taring. “Sekarang pun kita sebenarnya mempunyai banyak undang-undang (Akta Kawalan Harga 1946, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961) untuk melindungi kepentingan pengguna, tetapi banyak juga kelemahannya selain tidak dikemaskinikan, ada yang sudah ketinggalan zaman,” katanya.

Beliau yang sudah terbabit dalam bidang kepenggunaan hampir 30 tahun turut menyarankan supaya undang-undang yang sedia ada itu dikaji semula. “Kita tidak mahu rakyat menganggap penubuhan MHN ini sebagai gimik pilihan raya atau hanya sekadar penghias untuk pilihan raya. Rakyat kini menanggung keperitan kenaikan harga barang. Kita tidak mahu ada pihak yang mempersendakan penubuhan majlis ini,” katanya. Hamdan turut menyarankan supaya mekanisme yang sedia wujud di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digunakan sepenuhnya. “Jika pun ada kelemahan, ia boleh diperbaiki atau diperbetulkan,” katanya.

Harga barang yang melonjak setiap kali musim perayaan atau apabila berlaku kekurangan bekalan sama ada tidak dapat dielakkan atau disengajakan adalah antara krisis genting yang perlu ditangani segera.

“Justeru, cabaran paling besar bagi MHN ialah bagaimana hendak menetapkan harga. Bagaimana hendak meramalkan perilaku pengguna pada masa akan datang, maknanya MHN perlu tahu berapa jumlah produk yang akan menjadi permintaan.

“Bagaimana hendak meramal keadaan pasaran dunia dan bila hendak menaikkan harga,” ini adalah antara soalan yang dilontar Dr Gairuzazmi M Ghani, penolong profesor, Jabatan Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Secara peribadi, beliau berpendapat kerajaan tidak perlu mengawal harga.

“Mengawal harga adalah satu bentuk subsidi. Banyak lagi cara untuk memberi subsidi dengan sasaran terus kepada pengguna yang memerlukan. “Secara amnya, langkah mengawal harga memberi subsidi kepada semua orang sama ada orang itu memerlukan atau tidak. Kupon atau baucar boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan subsidi. Bukannya setiap orang perlu membayar dengan harga yang murah,” jelas Dr Gairuzazmi.

Fomca pula berharap penubuhan MHN boleh menjadi langkah awal kepada penubuhan sebuah Suruhanjaya Harga. “Kenaikan perbelanjaan sara hidup akibat peningkatan harga keperluan harian seperti makanan, pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan memberi impak ke atas kehidupan rakyat.

“Untuk mengatasi kesan buruk daripada kenaikan harga, Fomca berasa amat kritikal untuk diwujudkan Suruhanjaya Harga di bawah bidang kuasa KPDNHEP sebagai agensi pusat menyelaras, memantau dan mengawal harga barang serta perkhidmatan di negara ini,” kata Presiden Fomca, Datuk N Marimuthu. Suruhanjaya Harga itu, katanya boleh ditubuhkan di bawah undang-undang yang sedia ada seperti Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan atau Akta Perlindungan Pengguna.

Bagaimanapun, katanya, Suruhanjaya itu mestilah tidak tertakluk kepada kuasa mutlak mana-mana kementerian bagi memastikan ia dapat melaksanakan tujuan penubuhannya secara rasional, objektif dan keputusannya tidak dipengaruhi mana-mana pihak. B

eliau berkata, badan mengawal harga seperti Suruhanjaya Harga yang dicadangkan itu sudah wujud di banyak negara. Katanya, negara maju seperti United Kingdom dan Australia mempunyai badan regulatori harga, Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Bebas untuk Harga dan Regulatori. Beliau menekankan bahawa Suruhanjaya Harga akan menggalakkan kecekapan ekonomi Malaysia serta melindungi kepentingan pengguna negara ini melalui kawalan ke atas amalan anti-saingan serta tindakan dominasi pasaran.

- Bernama

No comments: