Tuesday, March 10, 2009

Kerajaan lebih utamakan guna tenaga tempatan

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan terus mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dengan memberi keutamaan kepada guna tenaga tempatan. Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah menetapkan kaedah yang sesuai untuk mencapai sasaran itu dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keberkesanannya dalam jangka panjang. Katanya, sebagai langkah pertama, kerajaan akan menaikkan bayaran levi kepada pekerja asing sebanyak dua kali ganda bagi semua bidang kecuali yang berkhidmat dalam sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.
“Di samping itu, levi akan dibayar oleh majikan dan bukannya oleh pekerja manakala pembayaran balik levi pekerja asing kepada majikan akan dibuat secara prorata sekiranya tempoh perkhidmatan pekerja asing disingkatkan berbanding kontrak asal. “Di samping itu, jaminan bank oleh majikan akan dikembalikan,” katanya menyentuh mengenai usaha mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing ketika membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat semalam. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan membekukan pengeluaran lesen agensi pengambilan pekerja asing dan syarikat penyumberan luar untuknya serta memperketat syarat kemasukan mereka.