Sunday, February 10, 2008

Score pelengkap hala tuju pertumbuhan ekonomi negara

PELANCARAN Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) di Bintulu hari ini, menggenapkan lima koridor pembangunan kerajaan di seluruh negara bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit untuk tempoh jangka panjang. Score yang berpusat di kawasan tengah Sarawak mempunyai corak pembangunan yang agak berbeza, berbanding koridor lain kerana ia memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga diperbaharui, terutama melalui kuasa hidro elektrik yang dijana dari kawasan pedalaman tengah dan utara negeri itu untuk menggerakkan pembangunan industri di kawasan pesisir pantai. Tumpuan utama pembangunan di kawasan tengah terutama Mukah, Tanjung Manis dan Similajau, Bintulu, bakal melimpah ke kawasan lain terutama di utara dan selatan Sarawak, yang lebih awal menikmati hasil pembangunan. Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) yang dibentuk kerajaan negeri dan beroperasi di Mukah akan mengurus, mentadbir dan mempromosi Score bagi memastikan ia mencapai matlamat dalam 20 tahun pelaksanaannya.

Tumpuan utama pembangunan Score, dengan pelaburan dijangka mencecah RM334 bilion membabitkan kawasan Tanjung Manis di kuala Sungai Rajang yang tertumpu kepada industri pembalakan, sawit, perikanan laut dalam, pemprosesan makanan, dan pembinaan kapal. Kawasan industri berat baru akan dibuka di Similajau, Bintulu membabitkan loji lebur aluminium; industri minyak dan gas; logam termasuk keluli, nikel dan zink serta kaca. Mukah yang menjadi pusat pentadbiran Recoda pula akan muncul sebagai bandar pintar, yang menjadi pusat pengetahuan serta pembangunan dan penyelidikan (R&D) kepada kedua-dua kawasan berkenaan. Sarawak akan menggunakan sumber tenaga murah, terutama tenaga elektrik hidro untuk menggerakkan Score dengan bantuan gas asli selain arang batu, semuanya terdapat di kawasan tengah dan utara negeri berkenaan. Sumber tenaga hidro dijana dari kawasan Bakun; Murum, Belaga; Baram; Pelagus, Kapit dan Limbang dijangka mampu menghasilkan tenaga elektrik berjumlah 20,000 megawatt. Begitu juga sumber arang batu di Mukah dan Kapit, mencecah 1.46 bilion tan manakala gas asli dari kawasan pesisir pantai sebanyak 40.9 trilion kaki padu. Kita melihat sumber yang terdapat di Sarawak cukup banyak dan mampu menjana pembangunan di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, negeri yang cukup luas itu turut berhadapan masalah mengagihkan pembangunan di kawasan Score berikutan halangan prasarana. Perkara ini tentu diberi perhatian khusus pengurusan Recoda ketika merancang pembangunan koridor wilayah berkenaan.

Kita berharap dalam usaha menjana sumber tenaga hidro, di kawasan pedalaman, pengalaman pahit projek hidro elektrik Bakun yang beberapa kali tertangguh pembinaan dan hanya dijangka siap pada 2010 perlu diambil kira. Begitu juga untung nasib penduduk yang bakal terjejas akibat perpindahan dari kawasan pembinaan hidro pada masa akan datang lebih terbela, berbanding mereka yang mendiami penempatan baru akibat projek hidro elektrik Bakun. Berbanding pembangunan wilayah lain yang dihebah dan promosi lebih awal kepada penduduk bagi mendapatkan maklum balas dan hala tuju pembangunan yang bakal dijalankan, belum banyak maklumat diperoleh umum mengenai Recoda. Ini boleh menyebabkan rakyat tertanya-tanya mengenai pembangunan koridor yang bakal mereka nikmati. Harapan kita, melalui pelancaran Score hari ini, penduduk Sarawak mendapat lebih banyak maklumat mengenai hala tuju pembangunannya. Bagaimanapun kita percaya, dengan kerjasama erat kerajaan, swasta dan rakyat, Recoda akan memberi manfaat dan mencapai sasaran seperti dirancang.

No comments: