ORANG ramai tetap menaruh keyakinan bahawa projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) memberi manfaat besar yang menggambarkan betapa kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai wawasan untuk faedah jangka panjang rakyat. Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Nurfarahin Kamaludin, 20, menyifatkan pembangunan ECER sebagai langkah bijak kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengangkat martabat negeri di Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Pembangunan sektor perindustrian secara langsung akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada golongan lepasan sekolah, terutama pelajar lepasan IPT. Ini sekali gus, berupaya mengurangkan kadar pengangguran serta dapat menangani gejala sosial yang berkait dengan pengangguran,” katanya.
Pemimpin masyarakat, Hasan Abu Bakar, 64, berkata penumpuan kepada sektor pertanian memberi banyak manfaat kepada golongan petani di Pahang. “Pengembangan sektor hiliran bukan saja memberi kebaikan secara langsung kepada golongan petani, malah juga meningkatkan ekonomi mereka dalam tempoh jangka masa panjang.
“Walaupun kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan sektor perindustrian, ia tidak mengabaikan sama sekali sektor pertanian yang selama ini menjadi teras utama ekonomi negeri yang berkaitan dengan penduduk tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, golongan petani tidak akan berasa terpinggir dengan pembangunan ECER, sekali gus dapat menikmati limpahan daripadanya.
Pengusaha pusat kecantikan, Wan Norasiah Wan Sulaiman, 40, berkata pembangunan bersepadu seperti dirancang melalui ECER bukan hanya menumpu kepada golongan tertentu, sebaliknya semua pihak bakal merasai kesannya.
“Saya percaya, apa yang dirancang kerajaan bertujuan memberi kemajuan dan kemakmuran kepada negeri dan penduduknya, walaupun kesannya hanya dapat dirasai dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Beliau menyifatkan ECER bukan sekadar impian kepemimpinan negara dan negeri, sebaliknya turut menjadi hasrat rakyat secara keseluruhannya untuk melihat negeri membangun secara holistik. Peniaga, Norshahida Daud, 30, berkata kesungguhan pucuk pimpinan negara merealisasikan program pembangunan yang besar berjaya meyakinkan pelabur untuk datang ke Pahang.
“Suntikan pelaburan yang besar bagi penyediaan prasarana akan menarik pelabur asing ke negeri ini, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Jika ini berlaku, sudah tentu masalah pengangguran dapat dikurangkan, dan pada masa yang sama, ekonomi negeri menikmati kemakmuran,” katanya.
ECER yang merangkumi lebih separuh dari saiz Semenanjung adalah wilayah pembangunan ketiga dilancarkan selepas Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara membabitkan negeri utara, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Berdasarkan Pelan Induk ECER yang dirangka Petronas, sebanyak 277 projek akan dilaksanakan merangkumi bidang pengangkutan, pembangunan prasarana, pelancongan, pendidikan, pembuatan, industri minyak, gas dan petrokimia dan pertanian.
Projek berkenaan dijangka menarik pelaburan bernilai RM112 bilion dan mewujudkan 560,000 peluang pekerjaan baru dari sekarang sehingga 2020.
Pelaksanaan projek itu akan mampu mempercepatkan pertumbuhan ECER secara berdaya maju, saksama dan mampan dengan matlamat akhirnya untuk meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kemiskinan.
Pelan Induk ECER mensasar untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kadar pertumbuhan KDNK per kapita, masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan RM13,510 menjelang 2020 untuk menangani ketidakseimbangan antara negeri di dalam ECER dengan jirannya di Pantai Barat Semenanjung. Pelan Induk itu turut bermatlamat menjadikan ECER wilayah yang maju menjelang 2020.
Hakikatnya, tiga negeri Pantai Timur yang dirangkumkan dalam pembangunan ECER bakal muncul sebagai penjana ekonomi yang setaraf dengan negeri di Pantai Barat, apabila projek yang dirancang menjadi kenyataan menjelang 2020.
Seperti Kelantan dan Terengganu yang banyak bergantung kepada sektor pertanian dan pelancongan sebagai teras ekonomi, Pahang turut memanfaatkan kelebihannya dengan memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan pelancongan.
Potensi pembangunan itu dijangka bukan saja dapat membantu memajukan ekonomi Pahang, malah juga pembangunan dan penyediaan sistem infrastruktur yang cekap dan berteknologi tinggi serta peningkatan dalam pembangunan modal insan.
ECER juga diharap dapat menambah peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk Pahang dan seterusnya menyumbang kepada keseimbangan dalam agihan ekonomi kepada rakyat setempat.
Agenda utama ECER di Pahang ialah memajukan negeri itu sebagai hab industri pembuatan dan logistik yang memberi penekanan kepada pembangunan bandar Pelabuhan Kuantan.
Antara inisiatif utama yang dirancang untuk seluruh negeri termasuk projek Kuantan Port City, Program Pembangunan Kelompok Industri Minyak Sawit dan Taman Halal Gambang.
Wednesday, February 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment