Tuesday, October 21, 2008

Tanamkan semangat kesetiaan hadapi krisis

Dalam suasana inflasi sekarang, satusatunya harga barang dan perkhidmatan yang boleh diturunkan oleh kerajaan ialah harga runcit minyak petrol dan diesel. Kerajaan mempunyai kuasa yang sepenuhnya ke atas harga akhir atau harga runcit komoditi itu.

Bagi komoditi kawalan lain, seperti tepung, gula dan beras tempatan, kerajaan hanya berkuasa ke atas harga inputnya tetapi tidak ke atas harga runcitnya. Ini kerana komoditi itu menjadi input kepada komoditi akhir lain.

Contoh, harga tepung dapat dikawal tetapi tidak ke atas harga roti canai. Begitu juga dengan komoditi gula, kerajaan tidak dapat mengawal harga runcit minuman teh tarik walaupun dapat mengawal harga inputnya iaitu gula. Keadaan yang sama juga boleh dipanjangkan kepada harga beras dan harga runcit sepinggan nasi.

Dalam tempoh 131 hari iaitu dari 5 Jun hingga 14 Oktober tahun ini, harga runcit minyak petrol telah dikurangkan sebanyak 40 sen seliter kepada RM2.30 seliter. Bagi harga runcit minyak diesel, ia dikurangkan sebanyak 38 sen seliter kepada RM2.20 seliter.

Pengurangan harga itu meringankan beban kos pengangkutan pengguna, peniaga dan industri.

Berlaku penjimatan atau tabungan sebanyak 40 sen seliter (petrol) atau 38 sen seliter (diesel) jika mereka yang berkenderaan masih mengekalkan unit penggunaan minyak petrol dan diesel. Lebihan tunai itu boleh ditabungkan itu untuk menampan kesan inflasi.

Pada teorinya, pengurangan harga runcit minyak petrol dan diesel itu disertai dengan penurunan harga barang dan perkhidmatan. Seperti mana berlaku apabila harga komoditi minyak itu dinaikkan, harga barang dan perkhidmatan turut dinaikkan kerana kesan rantaiannya.

Ada juga harga komoditi dinaikkan secara melampau oleh peniaga dan industri atas alasan komoditi minyak adalah input penting dalam proses pengeluaran. Dengan pelarasan harga petrol dan diesel yang ketiga, peniaga dan industri masih tidak sensitif dan prihatin. Harga barang dan perkhidmatan lekit turun kerana masing-masing ingin mengaut keuntungan berlebihan daripada kelemahan dan ketidakupayaan pengguna untuk mempengaruhi harga pasaran.

Semangat kesetiaan kepada negara menghadapi krisis perlu ada dalam kalangan peniaga dan industri dalam sektor 'benar' iaitu sektor yang mengeluarkan barang dan perkhidmatan. Mereka turut sama berkorban dengan kerajaan dan pengguna untuk keselamatan ekonomi negara. Mereka wajar menurunkan harga produk masing-masing.

Kesan rantaian yang dibawa oleh pengurangan harga dalam sektor benar akan meningkatkan perbelanjaan domestik. Malah, sejak krisis kewangan negara pada tahun 1997, peranan perbelanjaan domestik semakin penting dan penyumbang kuat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan perbelanjaan domestik akan memperlahankan ekonomi negara terperangkap dalam kemelesetan. Untuk mengharapkan sokongan daripada sektor perdagangan antarabangsa adalah sukar buat masa ini.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang merupakan pasaran eksport utama negara, sedang berdepan dengan krisis kewangan dan kelembapan ekonomi.

Ini berbeza dalam sektor kewangan. Tindakan industri perbankan dan kewangan tempatan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia perlu diteladani. Kadar bunga dikekalkan walaupun berlaku inflasi. Ini boleh dilakukan kerana institusi perbankan dan kewangan kebanyakannya dimiliki oleh kerajaan (GLC) seperti Malayan Banking Berhad, Affin Holdings Berhad, Bumiputera Commerce Holding Berhad dan BIMB Holdings Berhad. Secara tak langsung mempunyai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Lazimnya, kadar bunga dinaikkan apabila berlaku inflasi. Ini meningkatkan kos pinjaman bayaran balik kepada pengguna dan pelabur. Menyedari permasalahan itu dan atas semangat kesetiaan menghadapi krisis, industri perbankan dan kewangan tempatan mengekal kadar bunga dengan matlamat menjaga kebajikan pengguna supaya tidak berlaku krisis pinjaman tidak berbayar dan pada masa yang sama meningkatkan pelaburan domestik.

Polisi pengekalan kadar bunga itu perlu disokong dengan dasar tambatan ringgit. Jika tidak, kadar bunga yang rendah memberi tekanan kepada ringgit untuk turun nilai, lebih-lebih lagi apabila nilai dolar Amerika Syarikat tidak menentu berikutan krisis kewangannya. Dengan nilai ringgit yang lemah, kos import negara semakin mahal dan akan membawa fenomena inflasi yang diimport ke dalam negara.

Ini menokok lagi tekanan hebat ke ekonomi negara yang sedang berdepan dengan inflasi bersifat tolakan kos. Buat masa ini, kerajaan masih mempertahankan dasar apungan ringgit dengan harapan krisis kewangan di Barat dapat dipulihkan segera.

Penyelarasan harga bahan api di Malaysia mengikut trend harga minyak di pasaran dunia perlu dijadikan polisi penentuan harga yang berterusan bagi menetapkan harga runcit petrol dan diesel. Dengan polisi yang sedemikian, masyarakat kini lebih bersedia dengan pengumuman harga bahan api itu membuat penyesuaian corak perbelanjaan mengikut kemampuan masing-masing.

Kerajaan juga kini lebih berhati-hati membuat pengumuman mengenai harga bahan api itu. Pengumuman yang terbaru, kerajaan mungkin dapat menurunkan harga petrol ke paras RM1.92 seliter jika harga minyak di pasaran dunia jatuh di bawah paras AS$72 setong.

Jika harga minyak di pasaran dunia meningkat, pengguna perlu menerima harga semasa bahan api itu. Atas semangat kesetiaan negara dalam menghadapi krisis, peniaga dan industri perlu sama membantu ekonomi negara dengan tidak menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Jika tidak dielakkan, kenaikan harga barang dan perkhidmatan perlu berkadaran dengan kenaikan harga bahan api. Semangat kesetiaan pada negara dalam menghadapi krisis wajar ditanamkan pada setiap pelaku ekonomi dalam negara. Ia boleh juga disifatkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial pengguna dan korporat.

Persediaan MENANGANI ekonomi, pasaran global

SEMENJAK berlakunya krisis ekonomi di Amerika Syarikat dan kini merebak ke Eropah, kelihatan beberapa perubahan asas dalam strategi dan pemikiran ekonomi.

Berdasarkan pengalaman beberapa kali mengharungi situasi sama ada digelar krisis, kemelesetan atau kegawatan ekonomi, Malaysia tidak patut terjerumus kembali dalam masalah ekonomi global.

Keyakinan ini juga dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ekonomi Malaysia mempunyai tiga kekuatan utama iaitu dasar yang kukuh, berdaya tahan dan bersifat menyeluruh.

Gabungan tenaga pakar di Kementerian Kewangan, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan agensi-agensi lain, kerajaan yakin mereka mampu menentukan dasar dan maklum balas untuk menangani kesan kelembapan ekonomi AS dan global.

Berdasarkan pengalaman, sektor yang mudah diserang dari dalam dan luar hingga menimbulkan masalah kepada ekonomi tempatan ialah pasaran saham - Bursa Malaysia.

Oleh itu langkah kerajaan hendak menambah RM5 bilion ke dalam Valuecap Sdn. Bhd. bagi menggandakan nilainya kepada RM10 bilion adalah persediaan untuk menghadapi kemungkinan berlaku trend kemerosotan nilai saham pasaran tempatan.

Sebagai sebuah syarikat yang ditubuh pada 2003 dan dibiayai oleh agensi kerajaan, Valuecap mempunyai kepentingan asasnya untuk melindungi pelaburan yang dibuat oleh kerajaan.

Kita tidak mahu berlaku lagi kuasa spekulator untuk menentukan arah turun naik pasaran saham negara ini.

Sebab itu peruntukan itu harus dilihat sebagai langkah atau pencegahan awal yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengawasi pelaburan dalam saham-saham bawah nilai serta melindungi pelaburan yang disuntik oleh syarikat milik kerajaan (GLC).

Hakikatnya, kerajaan memerlukan wang untuk menjaga kebajikan rakyat dan menggerakkan pertumbuhan negara.

Kerajaan tidak mampu terus membiarkan ekonomi negara diserang oleh spekulator.

Kita perlu mengguna pengalaman lalu dalam menyusun strategi. Malaysia perlu dilindungi daripada diheret sekali dalam kancah kewangan dunia masa kini.

Jadi tindakan menambah dana dalam Valuecap adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan ekonomi negara kekal kukuh dalam menghadapi suasana ekonomi global sekarang dan tahun depan.

Perisytiharan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bahawa perbelanjaan di bawah Bajet 2009 akan diteruskan suatu keputusan yang melegakan.
Memang wajar kerajaan melihat semula dan menetapkan kembali keutamaan terhadap projek yang ingin dilaksanakan, khususnya projek kepentingan tinggi.

Apapun strategi yang telah digariskan dalam Bajet 2009 seperti meningkatkan daya saing, mencari pasaran baru dan mencipta produk baru utama, perlu dilaksanakan dengan lebih gigih.
Langkah ini diharap akan mewujudkan lebih banyak pelaburan baru dan peluang kerja dalam negara.

Wednesday, October 15, 2008

Isu firma muflis bukti doktrin ekonomi Amerika rapuh


PASARAN saham dunia terjejas teruk ekoran krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat sekarang
Washington tiru pakej rangsangan kewangan pernah diguna KL bantu syarikat bermasalah
TINDAKAN kerajaan menerusi Majlis Ekonomi (EC) yang bersetuju melaksanakan beberapa langkah bagi terus memastikan pertumbuhan dan pembangunan negara berjalan lancar, adalah seiring dengan hasrat mencapai negara taraf maju menjelang 2020. Ia dilihat memberi isyarat penting kepada usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara ketika dunia dan juga kuasa ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) kini berdepan kelembapan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran kewangan global.
Malaysia dalam menghadapi kitaran ekonomi 'gawat' dan lembab ini, mungkin dilihat bersedia menghadapi apa saja rintangan berasaskan kepada pengamalan serta keupayaan mengendalikan krisis seumpamanya pada beberapa siri kegawatan ekonomi pada 1980-an dan terakhir pada 1997/98 hingga negara berjaya seolah menyediakan model kepada teknik merawat kegawatan ekonomi yang melanda ketika itu.

Rawatan ekonomi yang diaplikasikan Malaysia terbukti mujarab hinggakan ia mendapat pengiktirafan meluas dunia antarabangsa, walaupun pada awalnya kaedah dilakukan Malaysia seperti melakukan 'tambatan' ringgit kepada dolar AS dan kawalan modal, dilihat konservatif dan tidak sealiran dengan pandangan beberapa tokoh ekonomi antarabangsa.
Washington dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dilihat melontarkan pelbagai tohmahan dan meragui keupayaan negara ketika itu untuk menyelamatkan ekonomi negara daripada menjunam teruk. Namun, apa yang pasti, setiap kritikan itu terjawab, dan Malaysia kembali bangkit serta berjaya meminimumkan impak, menyelamatkan negara terjebak krisis yang mudarat seperti berlaku di Indonesia. Usaha yang diterajui kepemimpinan Datuk Seri Abdullah dan Menteri Kewangan baru, Datuk Seri Najib Razak memberi fokus kepada pengenalpastian sektor pertumbuhan ekonomi bagi diperkemas dan diperkembangkan untuk membolehkan 'prospek besar' dijana bagi memperkukuh daya saing negara.

Perhatian dan promosi serta usaha melindungi semua sektor teras bagi menjamin daya tahan Malaysia serta meliberalisasikan sektor perkhidmatan yang menyumbangkan 45 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara juga dilihat bersesuaian dan bersifat strategik. Peranan dimainkan tiga institusi teras pelaburan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan juga Pemodalan Nasional Berhad (PNB) tidak harus dikesampingkan.
Dengan modal besar dipunyai ketiga-tiga institusi ini, kerajaan mampu menjana dana yang luas bagi digunakan sebagai mekanisme sumber kewangan untuk mempertahankan keupayaan pembangunan negara. Jangan jadikan situasi kemelesetan ekonomi antarabangsa yang disebabkan oleh kemerosotan AS sebagai penyebab kepada terhalangnya pembangunan negara untuk masa depan.
Projek sedia ada harus diteruskan serta jika wujud lebih kepelbagaian dalam pembangunan di pelbagai sektor, maka lebih wang akan bergerak di pasaran domestik. Kini, peranan kerajaan dan institusi kewangan amat penting, bukan mengurangkan kitaran wang, sebaliknya memperbanyak dan mempelbagaikan perbelanjaan sebagai suntikan kepada peluang pekerjaan negara.

Kenyataan Abdullah ketika mengumumkan hasil mesyuarat EC yang menyatakan bahawa amat penting untuk negara mempromosi sektor pertumbuhan baru dan melindungi sektor teras daripada sebarang ancaman, dilihat sebagai pernyataan yang memberikan kelegaan kepada pasaran tempatan.
Strategi dan usaha untuk memperbanyakkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan sektor swasta di Asia Barat, China, Korea, Jepun dan India untuk menarik pelaburan ke Malaysia dilihat bersesuaian.
Negara Teluk di Asia Barat yang kini dilihat memiliki 'lambakan' dana hasil perolehan jualan minyak mereka, dapat disalurkan ke negara ini menerusi pelaburan di pelbagai sektor.
Negara tidak harus hanya bergantung kepada pasaran dan modal dari Eropah dan AS untuk memacu perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara, tetapi dengan polisi Pandang ke Timur dan Arab ini, dilihat akan memberikan kepelbagaian suntikan pelaburan kepada negara. Mujurlah selama ini dalam hal perdagangan antarabangsa, Malaysia lebih bersikap terbuka dan mementingkan aliran pelbagai hala berbanding sehala semata-mata.
Ini juga adalah strategi Malaysia yang penting iaitu tidak bergantung kepada mana-mana pasaran secara keterlaluan.
Namun, dalam situasi politik semasa, pembangkang juga perlu memainkan peranan penting untuk tidak lagi memainkan berita sensasi yang jauh daripada kebenaran hinggakan ia seolah 'menakutkan' pelabur asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.
Imej positif Malaysia pada kaca mata antarabangsa harus dikembalikan dan jika ini dapat dijana, maka ia akan memudahkan usaha Malaysia untuk tidak terjebak dalam kancah seperti dialami AS masa kini.
AS yang kini terjebak dengan krisis kewangan selepas 11 tahun lalu negara Asia seperti Indonesia, Thailand, Korea dan juga Malaysia menjadi 'destinasi kegawatan ekonomi' yang berpunca daripada kegiatan spekulatif di pasaran mata wang antarabangsa, kini rasai bagaimana peritnya negara yang 11 tahun dulu dicengkam dengan keperitan untuk menyelamatkan ekonomi daripada terus jatuh.
Kini AS adalah pendokong sistem kapitalis terbesar dunia dengan kapasiti KDNK AS$14 trilion dilihat menjadi dalang yang menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam membantu syarikat yang bermasalah. Kecuali Malaysia, lain-lain negara yang menerima pakej IMF bertindak untuk tidak menyelamatkan mana-mana syarikat berkepentingan nasional dengan andaian bahawa segala-galanya akan ditentukan oleh pasaran.
Hipotesisnya mudah, pakej IMF yang diselia dan dicatur AS memperlihatkan bahawa sesuatu ekonomi perlu dibiarkan tanpa campur tangan kerajaan walaupun ekonomi terbabit jatuh merudum, maka ia tidak boleh dihalang. Itulah dogma dan doktrin ekonomi Washington. Namun, kini sebaliknya berlaku, dan AS mengguna pakai pakej rangsangan ekonomi yang 11 tahun dulu dipraktikkan Malaysia.
Secara signifikannya, ini menunjukkan bahawa AS tidak terlepas daripada gugatan ekonomi dan juga menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Malaysia di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu dan kini diteruskan oleh Abdullah adalah bertepatan dengan kehendak bahawa 'kedaulatan ekonomi' negara perlukan 'penjagaan rapi' oleh kerajaan.

Monday, October 13, 2008

Bersatu kekang tempias kelembapan ekonomi global

KRISIS kredit Amerika Syarikat (AS) kian meruncing sehingga menjejaskan ekonomi dunia. Sebahagian besar negeri di AS menghadapi ekonomi yang tenat sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja awam dan terpaksa mendapatkan bantuan pinjaman daripada pihak Perbendaharaan Amerika Syarikat. Bank di Eropah juga dikatakan sudah tenat dan ada beberapa bank tutup.

Dalam keadaan ekonomi global yang tenat ini, adakah negara kita dapat mengharungi cabaran ekonomi ini? Berdasarkan perkembangan semasa, Malaysia sebenarnya masih mampu bertahan daripada impak situasi ekonomi itu dan tidak akan mengalami kemelesetan, kerana ia masih mempunyai fundamental ekonomi yang kukuh.

Kita mempunyai rizab yang selesa, hutang luar terurus, lebihan juga masih kukuh, simpanan domestik tinggi, kekukuhan rizab antarabangsa, memiliki sistem perbankan terkawal dan mata wang kita juga stabil dan tidak tertakluk kepada susut nilai.

Malah, Malaysia dijangka tidak menerima kesan besar kerana struktur asas ekonominya yang lebih kukuh berbanding 10 tahun lalu. Misalnya, rizab negara sekarang sebanyak AS$110 bilion dapat menampung pembayaran import sehingga 9.3 bulan. Pasaran eksport produk negara juga tidak terlalu bergantung kepada AS, tetapi dipelbagai kepada pasaran negara Asia Barat, India, China dan Asean.

Lagipun, produk negara kita yang berkualiti dan bernilai tinggi seperti minyak sawit, barangan elektrik dan sebagainya mendapat sambutan baik daripada pengguna negara berkenaan. Destinasi eksport kini lebih pelbagai dengan 56.6 peratus adalah ke negara Asia Timur berbanding 48.8 peratus pada 1998. Walaupun berlaku kegawatan ekonomi khususnya di negara maju, pembangunan di rantau ini, meskipun lebih perlahan, akan terus menyokong perdagangan antara Asia.

Keadaan kewangan institusi perbankan negara jauh lebih kukuh berbanding ketika krisis kewangan Asia pada 1997. Oleh itu, kita tidak perlu terlalu bimbang berhubung krisis ekonomi yang melanda AS malah kita harus berkeyakinan untuk menghadapi cabaran kewangan ini. Berkat usaha gigih dan kerjasama yang erat, kita boleh meneroka pasaran baru untuk produk dan perkhidmatan Malaysia.

Bayangkan, kos yang ditanggung kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara melalui Danaharta ketika krisis kewangan 10 tahun lalu yang berjumlah RM12.5 bilion. Kos itu masih rendah iaitu tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 52.3 peratus di Indonesia, 23.1 peratus di Korea Selatan dan 34.8 peratus di Thailand.

Apa yang penting sekarang ini ialah untuk semua pihak dan rakyat jelata memberi sokongan penuh kepada kerajaan untuk sama-sama memperkukuhkan ekonomi dan mengekang tempias kelembapan ekonomi dunia. Perpaduan dan kerjasama semua pihak boleh membantu Malaysia menangani krisis ekonomi global.