Ekonomi Malaysia dijangka berkembang enam peratus atau lebih dalam tahun 2007 dan 2008, walaupun wujud kebimbangan mengenai keadaan ekonomi Amerika Syarikat, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.
Katanya, kerajaan berkeyakinan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang pada kadar 6.0 hingga 6.5 peratus seperti yang diunjurkan dalam tahun 2008 dan pada anggaran 6.0 peratus atau lebih pada tahun 2007.
“Malah ekonomi yang saya lihat semasa saya berjalan di sini adalah baik,” katanya pada sidang media di Tasik Gelugor di sini selepas melawat pasar Sungai Dua dan Tasek Gelugor.
“Tahun ini adalah tahun yang baik,” katanya ketika ditanya mengenai impak kemungkinan kemelesetan di AS dan himpitan kredit global di Malaysia.
Nor Mohamed yang akan bertanding dalam pilihan raya umum di kawasan Parlimen Tasek Gelugor pada 8 Mac ini, sebelum ini menyatakan Malaysia dapat mengharungi kemelut kemelesetan apabila ekonomi Malaysia kini kurang bergantung pada ekonomi AS.
Ketika ditanya mengenai sama ada integritinya berkaitan pelaksanaan dasar bagi negara ini akan tergugat jika beliau dipilih sebagai anggota Parlimen dan dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Kedua, beliau berkata: “Tidak.” Beliau berkata, dasar kerajaan akan diteruskan.
“Kita akan terus melaksanakan program ekonomi utama di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).
Bekas Penasihat Bank Negara itu dilantik sebagai penasihat khas ekonomi kepada Perdana Menteri pada tahun 2000 dan sebaik-baik dilantik sebagai senator pada tahun 2004, telah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua sehingga hari ini.
– Bernama
Wednesday, February 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment