Thursday, April 2, 2009

Malaysia perlukan satu model ekonomi baru

DATUK Seri Najib Razak ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno Ke-59 Sabtu lalu antara lain menyarankan mengenai keperluan negara melakukan transformasi daripada industri yang bernilai tambah kepada industri bernilai tinggi dan daripada ekonomi berasaskan pembuatan dan pengetahuan kepada ekonomi berasaskan inovasi. Saranan Presiden Umno dan bakal Perdana Menteri itu tepat pada masanya, bukan saja kerana krisis ekonomi global semasa, malah sememangnya Malaysia memerlukan lonjakan ekonomi ke tahap baru. Ia juga wajar dilihat sebagai satu cabaran yang menanti disahut dan peluang yang perlu direbut dalam usaha kita memacu ekonomi negara ke hadapan. Prestasi ekonomi negara dalam tempoh satu dekad lalu menjadi asas dalam kita merencana masa depan itu. Krisis ekonomi Asia pada 1997/98 sudah meninggalkan kesan yang amat mendalam. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sehingga 7.4 peratus. Ekonomi negara tumbuh pada kadar purata 8.1 peratus setahun sepanjang tempoh 1990-1997, tetapi jatuh pada kadar 5.6 peratus antara 2000-2007.
Angka ini menunjukkan kesan akibat krisis terbabit masih terasa sehingga kini. Namun, ada yang berpendapat keadaan kita tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan beberapa negara serantau. Korea Selatan misalnya hanya mencatat pertumbuhan purata 4.9 peratus setahun sepanjang tempoh 2000-2008. Tetapi perbandingan ini terlalu simplistik dan isu yang lebih besar ialah, walaupun Malaysia pulih daripada krisis ekonomi 1998, pemulihannya tidak meletakkan kedudukan ekonomi negara pada kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi seperti sebelum 1998. Walaupun secara amnya pertumbuhan ekonomi agak baik, wujud beberapa kekangan. Peranan sektor swasta kini bertambah kecil. Pelaburan swasta pada 1995 meningkat sehingga 25.4 peratus tetapi pada 2008, ia hanya berkembang 1.5 peratus.
Nisbah pelaburan langsung asing (FDI) kepada KDNK juga menunjukkan trend penurunan yang konsisten. Dalam tempoh 1992–1997, nisbah ini ialah 7.3 peratus, sebaliknya menurun kepada 4.2 peratus sepanjang tempoh 2002-2007. Pada masa sama, sektor perkhidmatan tidak berkembang seperti dijangkakan sungguhpun ada kemajuan dalam bidang pelancongan dan industri baru seperti industri pendidikan dan logistik. Sumbangan sektor perkhidmatan dalam ekonomi ialah pada kadar 55 peratus, namun ia dianggap kecil memandangkan kita menyasarkan ekonomi yang berasaskan ilmu pengetahuan. Sektor eksport adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga menunjukkan trend menurun. Jumlah eksport negara berkembang sebanyak 15.1 peratus setahun sepanjang tempoh 1996-2000, tetapi hanya mencapai kadar pertumbuhan setakat 5.2 peratus dalam tempoh 2001-2008. Dari segi penanda aras daya saing, Malaysia kekal pada tahap sederhana sejak 2000. Berdasarkan Indeks Pertumbuhan Daya Saing (Growth Competitiveness Index) 2008 yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia, Malaysia berada di tangga ke-21 daripada 131 negara, berbanding ke-19 pada 2007.
Jurang perbezaan ekonomi juga semakin ketara antara Malaysia dengan negara seperti Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Perkara ini membimbangkan kerana jurang itu mengecil pada 1990-an, tetapi menjadi sebaliknya sekarang. Negara berkenaan mendahului kita dari segi kadar pertumbuhan pendapatan perkapita, keupayaan teknologi dan pembangunan modal insan. Semua fakta ini membuktikan bahawa Malaysia memerlukan satu model ekonomi baru. Tidak cukup bagi kita untuk berusaha menghadapi krisis ekonomi semasa dengan jayanya. Kita juga perlu pastikan pemulihan kita dan pertumbuhan ekonomi seterusnya mapan dan kekal lama. Analisis di atas juga memberi gambaran seolah-olah Malaysia terperangkap dalam situasi negara yang berpendapatan sederhana dan mendapati laluannya sukar untuk berubah kepada status negara berpendapatan tinggi. Kita berdepan saingan sengit bukan saja dalam bidang yang pada tradisinya menjadi satu kelebihan kepada kita, malah juga dalam bidang baru yang kita hendak terajui dan mempunyai potensi masa depan. Justeru, tindakan yang paling wajar dilakukan tentulah dengan bertukar kepada ekonomi berkemahiran tinggi dan yang menjana pulangan tinggi. Malaysia mempunyai keupayaan dalam hal ini dan pendapatan perkapita negara pada 2008 ialah AS$8,068. Kerajaan sudah mengambil langkah bijak dengan membuat pelaburan besar dalam bidang infrastruktur dan modal insan, di samping melaksanakan urus tadbir yang baik. Struktur ekonomi negara juga seimbang, disokong kuat oleh sektor pembuatan dan pertanian berserta sektor perkhidmatan yang berpotensi tinggi. Namun, Malaysia kekal sebuah ekonomi yang mempunyai kadar upah dan kemahiran yang rendah dan ekonomi berasaskan sumber. Sekiranya kita tidak membuat transformasi kepada ekonomi bernilai tinggi, kita akan terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rendah pada masa depan. Negara kita berdepan dengan kemungkinan tidak mencapai sasaran untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020. Oleh itu, adalah amat penting kita menyelesaikan isu ekonomi yang kritikal terutama sekali isu modal insan, teknologi dan inovasi, berserta pendekatan kita terhadapnya dan sistem penentuan harga. Meningkatkan keupayaan modal insan adalah langkah bijak dan wajar. Bagaimanapun, jangkauan kita harus melewati isu meningkatkan tahap pendidikan dan dasar pasaran tenaga kerja semata-mata. Penting juga kita pastikan modal insan yang dikeluarkan memenuhi kehendak pasaran. Jika tidak, maka akan berlaku pengangguran atau ketidaksesuaian pekerjaan. Dalam melangkah naik rantaian nilai, teknologi dan inovasi adalah sangat penting sekali. Justeru, budaya inovasi harus dipupuk bagi meningkatkan keupayaan untuk berdaya saing. Banyak inisiatif diperkenalkan ke arah ini tetapi hasilnya masih sederhana. Malaysia harus mendahului teknologi yang strategik. Lebih banyak pelaburan perlu dibuat bagi menyokong inovasi yang digerakkan oleh teknologi, menerusi penyelidikan dan pembangunan. Kita juga boleh membeli teknologi dan membuat proses tambah nilai tinggi bagi memenuhi kehendak pasaran. Di samping itu, sistem penentuan harga juga perlu dikaji semula bagi menggambarkan perubahan pasaran. Kawalan harga dan subsidi menyokong sektor pembuatan dan membantu golongan miskin. Tetapi sejak akhir-akhir ini, ia mendatangkan impak negatif terhadap pengagihan sumber dan mengurangkan daya saing. Usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi bernilai tinggi menjadi lebih rumit dalam keadaan krisis kewangan global yang melanda sekarang. Bagi negara ini, cabarannya ialah untuk dapat memastikan eksport terus berkembang dan menentukan apakah kedudukan terbaik dalam suasana ekonomi global yang serba mencabar. Pada masa sama, ekonomi negara perlu terus berkembang dengan pesat demi menjamin taraf hidup yang baik untuk rakyatnya. Ini bermakna menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan mengekalkan daya saing melalui peningkatan produktiviti dan kreativiti. Justeru, inovasi, keupayaan teknologi, pembangunan modal insan dan kualiti barang serta perkhidmatan lebih tinggi perlu diberi perhatian. Kita perlukan keberanian dan semangat waja seperti yang dahulunya yang sudah membantu kita menangani pelbagai cabaran yang datang. Kita perlu lakar satu model ekonomi baru, model ekonomi yang berasaskan inovasi. Bak kata Najib selaku Presiden Umno yang baru, jika kita tidak berubah, kita akan rebah.

enulis ialah Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia