Sunday, June 22, 2008

Spekulator ledak harga minyak dunia

Penetapan penanda aras kos bahan api dibuat menerusi dua kontrak hadapan KENAIKAN mendadak harga minyak global menimbulkan beberapa persoalan.

Mengikut amalan biasa, kenaikan akan berlaku apabila bekalan berkurangan, tetapi negara pengeluar minyak menyatakan bekalan mencukupi. Apakah benar fenomena kenaikan itu tercetus gara-gara kegiatan berbentuk spekulatif semata-mata?

Spekulator, yang tiada kaitan dengan pengeluaran atau penggunaan komoditi itu dipercayai membuat pelaburan di pasaran hadapan dan menjadikan minyak sebagai instrumen terbaik untuk mengaut keuntungan besar.
Inilah isu utama yang sering dibahaskan pada peringkat antarabangsa ketika ini iaitu mengenai ketulenan lonjakan melampau harga bahan api kerana dipercayai di antara 40 dan 50 peratus daripadanya berpunca gara-gara spekulasi, bukan dicetus oleh isu kekurangan bekalan.

Hakikatnya, peningkatan harga minyak mentah global melebihi paras AS$130 setong adalah punca utama kenaikan tinggi kadar inflasi global berikutan lonjakan harga bahan makanan dan komoditi utama lain, sekali gus menyebabkan sebilangan negara termasuk Indonesia, India dan Malaysia terpaksa menyemak semula subsidi bahan api masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada awal bulan ini menyarankan komuniti antarabangsa mengkaji kemungkinan menggantung urus niaga minyak dalam pasaran hadapan bagi menangani kenaikan mendadak harga bahan api itu yang turut melonjakkan harga komoditi lain, termasuk makanan.

Ketika mengemukakan cadangan itu, Abdullah berkata, komuniti antarabangsa perlu mengambil langkah berani yang belum pernah dilakukan untuk mengelak bidaan spekulatif yang menyebabkan kenaikan melampau harga minyak.

Jika diteliti saranan Perdana Menteri itu ada asasnya kerana kenaikan harga semasa dikawal oleh sistem pasaran yang terperinci, didalangi oleh bank perdagangan terkemuka dan dana lindung gergasi. Urus niaga minyak mentah global hari ini dimonopoli dua bursa minyak antarabangsa iaitu New York Mercantile Exchange (Nymex) di Amerika Syarikat (AS) dan ICE Futures di London, United Kingdom, sekali gus menetapkan penanda aras harga minyak mentah global menerusi dua kontrak hadapan utama iaitu minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan North Sea Brent.

Sementara itu, bursa minyak mentah ketiga dan paling baru iaitu Dubai Mercantile Exchange (DME) pula adalah syarikat yang memiliki hubung kait dengan Nymex dengan James Newsome, Presiden Nymex turut menjadi ahli Lembaga Pengarah DME, manakala sebahagian besar kakitangan kanannya adalah warga AS dan Britain.

Brent digunakan sebagai kontrak semasa dan jangka panjang bagi menentukan harga minyak mentah global setiap hari untuk bekalan ke pasaran Eropah dan sebahagian Asia.

Sementara itu, pengeluar minyak utama dunia termasuk Russia dan Nigeria menggunakan penanda aras Brent bagi menentukan harga minyak yang dibekalkan. WTI pula secara tradisinya digunakan untuk harga minyak bagi pasaran pengguna bahan api terbesar global iaitu AS dan juga menjadi pengukur utama harga minyak global.

Walaupun umum mengetahui urus niaga minyak dilaksanakan secara rasmi, cara harga minyak sebenar ditentukan, masih tersembunyi menerusi proses yang rumit. Hanya beberapa bank yang menjalankan urus niaga minyak seperti Goldman Sachs dan Morgan Stanley tahu siapa yang membeli dan menjual kontrak hadapan dan derivatif bahan api itu, sekali gus menetapkan harga fizikal minyak mentah pada peringkat yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Selaras dengan pembangunan pasaran derivatif minyak mentah yang tidak dibendung peraturan sejak lebih sedekad lalu, maka ia membuka peluang kepada aktiviti spekulasi melampau yang berlaku pada hari ini. Sejak pelaksanaan dan kemajuan urus niaga kontrak hadapan di New York dan London, pengawalan harga minyak sudah berpindah tangan daripada Opec kepada Wall Street.

Pada Jun 2006, Jawatankuasa Kecil Senat AS menerusi laporan penyelidikan bertajuk 'Peranan Spekulasi Pasaran ke atas Kenaikan Harga Minyak dan Gas', menjelaskan wujud bukti kukuh aktiviti spekulasi besar dalam pasaran ketika itu yang menyebabkan kenaikan harga bahan api. Jawatankuasa itu juga melaporkan wujud ketirisan dalam peraturan urus niaga derivatif.

Namun laporan berkenaan diabaikan oleh Kongres AS. Pada Januari 2006, ICE Futures di London yang sebelum itu bertanggungjawab dalam urus niaga komoditi tenaga di Eropah, mula mendagangkan kontrak hadapan WTI iaitu minyak mentah yang dikeluarkan dan dihantar bagi kegunaan AS, sebaliknya ICE Future membenarkan peniaga AS berurusniaga kontrak gasolin dan minyak pemanas AS di London.

Langkah itu juga membolehkan peniaga yang memiliki terminal transaksi di AS melakukan kontrak minyak mentah, gasolin dan minyak pemanas, sekali gus membuka jalan bagi kemasukan elemen spekulasi melampau dalam dagangan minyak mentah global. Ia membenarkan transaksi kontrak hadapan tanpa had dipegang menerusi urus niaga elektronik di luar kaunter tanpa pemantauan oleh bursa itu sendiri, selain tiada laporan mengenai jumlah kontrak didagang setiap hari.

Jika diteliti, ternyata kenaikan harga minyak mentah Brent dan WTI sejak awal 2006 mempunyai kaitan rapat dengan kebenaran urus niaga derivatif tidak berperaturan kontrak ICE Future di pasaran AS. Harga minyak mentah pada Januari 2006 diniagakan pada paras AS$59 hingga AS$60 setong dan pada hari ini, selepas dua tahun harganya sudah melepasi paras AS$130 setong dan dijangka terus meningkat.

Lanjutan itu, Opec sering menyatakan pendiriannya bahawa kenaikan semasa bukan disebabkan faktor kekurangan bekalan, tetapi berpunca daripada kelemahan peraturan pasaran dan mereka enggan menambah pengeluaran ekoran perkara itu.

Dalam aliran kenaikan harga minyak semasa, ternyata syarikat kewangan gergasi, dana lindung nilai, dana pencen dan pelabur global mencurah berbilion dolar AS membeli komoditi bahan api bagi meraih peluang perubahan harga serta melindung nilai pelaburan mereka. Sebahagian besar pelaburan tambahan ini bukan datangnya daripada pengeluar atau pelanggan komoditi, sebaliknya daripada spekulator yang mencari peluang keuntungan segera berasaskan perubahan harga.

Spekulator dalam hal ini, didefinisikan sebagai seseorang yang tidak mengeluar dan menggunakan komoditi itu, tetapi berhasrat untuk melaburkan modalnya dalam urus niaga hadapan dengan harapan akan membuat keuntungan daripada perubahan harganya.

Jumlah besar yang dibeli oleh spekulator kontrak hadapan minyak mentah mewujudkan pertambahan permintaan bagi bahan api itu, sekali gus melonjakkan harga penghantaran di pasaran semasa. Goldman Sachs dan Morgan Stanley adalah dua syarikat peneraju dalam urus niaga tenaga di AS, sementara Citigroup dan JP Morgan Chase pula dua peserta pasaran utama, di samping beberapa dana lindung nilai adalah antara spekulator utama minyak mentah global.

Pada Jun 2006, harga kontrak minyak diniagakan pada AS$60 setong dan berdasarkan siasatan Senat AS, dianggarkan AS$25 daripada harga itu berpunca daripada spekulasi tulen.

Sementara itu, penganalisis pada masa itu turut menganggarkan harga minyak WTI adalah kira-kira AS$25 setong dan bukan AS$60 berdasarkan jumlah inventori minyak AS. Perkara itu juga membayangkan bahawa pada hari ini, sekurang-kurangnya AS$50 hingga AS$70 daripada harga semasa minyak mentah global iaitu AS$130 setong adalah disebabkan spekulasi oleh dana lindung nilai dan institusi kewangan global.

Penurunan pertumbuhan ekonomi AS dan kejatuhan nilai dolar AS, menjadikan spekulasi sebagai strategi untuk keuntungan iaitu dengan menjual dolar AS dan membeli kontrak minyak mentah di pasaran hadapan. Institusi kewangan dan dana pencen gergasi global ketika ini amat terdesak untuk mendapat keuntungan ekoran penurunan pendapatan sejak timbulnya krisis gadai janji subprima pada Ogos 2007.

Minyak pula dilihat sebagai satu daripada instrumen untuk meraih untung besar menerusi aktiviti spekulasi, sementara gangguan geopolitik di beberapa negara pengeluar petroleum utama seperti Sudan, Venezuela, Nigeria, Iran dan Iraq berserta permintaan tinggi oleh China dan India menjadi penyokong kepada aktiviti itu.

Thursday, June 5, 2008

5 Mei 2008 : Kaedah Robin Hood ringankan beban

Kerajaan patut naikkan cukai korporat bagi tampung subsidi untuk rakyatTABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan harga petrol mungkin meningkat sehingga AS$200 setong, manakala kenaikan harga barang makanan secara purata sebanyak 4.9 peratus pada Mac lalu menjadikan inflasi naik kepada 2.8 peratus berbanding pada kadar 2.3 peratus pada Januari lalu. Jadi apa pilihan kita untuk mengatasi kenaikan harga barang yang membebankan rakyat? Adakah menaikkan gaji satu langkah paling berkesan untuk mengatasi masalah ini dan bagaimana pula jika kenaikan gaji akan memburukkan inflasi?

Adakah penguatkuasaan ketat dan kawalan harga dapat mengekang semua ini? Pengalaman sudah membuktikan bahawa kawalan dan penguatkuasaan akan berakhir dengan ungkapan 'kenaikan harga tidak dapat dielakkan.' Bagaimana jika pada saat-saat seperti ini kita menggunakan kaedah Robin Hood? Robin Hood merompak daripada golongan bangsawan yang kaya dan memberikannya kepada golongan miskin. Tetapi kita bukanlah ingin merompak atau apa-apa cara yang bercanggah dengan etika dan undang-undang. Apa yang kita harapkan pada saat yang gawat ini, golongan kaya juga bertimbang rasa dan sama-sama merasai kesusahan dihadapi golongan berpendapatan rendah.

Kenaikan harga barang pada golongan berada mungkin bermaksud mereka tidak boleh bermewah sangat seperti dulu. Mungkin dulu mereka bercuti ke Paris, tetapi kini cukup jika melancong di dalam negeri. Kenaikan harga barang kepada golongan berpendapatan rendah pula mungkin bermaksud kurangkan makan, tiada lagi baju baru sehingga ada yang mencadangkan supaya kita hanya makan segenggam beras sehari. Itu belum lagi untuk berdepan yuran sekolah dan buku setiap awal tahun persekolahan. Semua ini memeningkan kepala. Kerana itu penulis mencadangkan supaya kerajaan menggunakan teori 'Robin Hood' dalam menangani krisis ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran, Berkhatan dan Bertindik di Sekolah Kebangsaan Seri Maulana, Pekan, baru-baru ini berkata, apabila harga minyak naik begitu tinggi, kerajaan tidak ada pilihan melainkan melihat kepada skim subsidi untuk dikaji semula supaya beban tanggungan dapat dikurangkan.

Pada saat-saat seperti ini, memang peranan subsidi sangat penting terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Najib pada majlis yang sama memberi jaminan bahawa pada prinsipnya golongan berpendapatan rendah akan terus mendapat subsidi pada tahap munasabah, manakala yang berpendapatan tinggi atau menggunakan banyak bahan api akan terpaksa membayar pada harga lebih tinggi.

Sungguh pun begitu kerajaan sudah pasti menanggung beban kewangan yang besar dalam hal ini. Bagi menampung peruntukan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah, kerajaan mungkin boleh menaikkan cukai korporat. Pada masa ini cukai korporat ialah sebanyak 26 peratus daripada keuntungan syarikat. Dengan menaikkan cukai korporat, kerajaan boleh menggunakan dana itu sebagai subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.

Pada waktu ini mungkin sesetengah perniagaan juga menghadapi masalah kewangan, tetapi masalah yang mereka hadapi mungkin hanya berkisar kepada keuntungan yang semakin berkurangan. Sungguh pun begitu sebenarnya banyak juga syarikat yang meraih 'durian runtuh' daripada kenaikan harga barang yang berlaku sekarang. Jadi rasanya adil untuk menaikkan cukai korporat pada saat-saat seperti ini.

Selain cukai korporat, kerajaan juga boleh menaikkan cukai pendapatan individu bagi mereka yang berpendapatan tinggi, contohnya mereka yang memperoleh pendapatan melebihi RM120,000 setahun. Golongan berpendapatan tinggi seperti ini biasanya melepasi tahap kemampuan untuk memenuhi keperluan asas untuk hidup.

Tetapi golongan berpendapatan rendah terpaksa melalui saat-saat sukar untuk memenuhi keperluan asas untuk hidup. Menaikkan cukai syarikat dan individu yang berpendapatan tinggi ini bersesuaian dengan kaedah 'Robin Hood' iaitu mengambil daripada golongan kaya untuk diberikan kepada golongan miskin.

Menaikkan gaji atau menetapkan gaji minimum semata-mata seperti dituntut oleh MTUC akan menjurus kepada pertambahan kos kepada perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang. Peranan subsidi sangat penting kerana ia boleh mengelakkan kenaikan harga barang dan terus kepada kumpulan sasar iaitu mereka yang kurang berkemampuan. Dalam keadaan krisis ekonomi dengan kenaikan harga melampau ini, yang paling terkesan ialah golongan berpendapatan rendah. Kerana itu mengimbangkan pendapatan antara golongan miskin dan kaya sangat perlu. Pada masa ini peranan subsidi sangat penting kerana ia terus kepada golongan sasaran.

Dengan pertambahan dalam pendapatan melalui kenaikan cukai kepada golongan berada dan korporat, kerajaan boleh menggunakan dana itu untuk memberikan bantuan terus kepada golongan kurang berkemampuan. Bagi membantu golongan berpendapatan rendah, kerajaan disarankan menaikkan kadar biasiswa kecil persekutuan (BKP) yang diberi kepada pelajar seluruh negara. Selain itu bilangan pelajar yang mendapat biasiswa ini juga perlu ditambah lebih ramai lagi meliputi semua yang layak untuk menerima biasiswa ini. Dengan itu, ia dapat meringankan beban ditanggung oleh ibu bapa terutama mereka yang mempunyai ramai anak. Memang dalam situasi inflasi, pakar ekonomi berpendapat supaya jumlah wang yang mengalir dan ada di tangan orang ramai perlu dikurangkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerana perbelanjaan yang bertambah akan memburukkan lagi inflasi. Sekiranya edaran wang berkurangan dan permintaan pun berkurangan, mekanisme pasaran akan menyebabkan harga turun.

Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, kenaikan harga ialah membabitkan barang keperluan harian yang kita tidak dapat elak melainkan terpaksa membeli juga. Melalui pertambahan hasil daripada kenaikan cukai korporat dan individu berpendapatan tinggi, kerajaan boleh menggunakannya sebagai dana untuk subsidi kepada golongan berpendapatan rendah yang terhimpit kerana kenaikan harga umum kebanyakan barang keperluan. Mungkin ia sesuai dengan ungkapan 'susah senang kita bersama'. Ia dapat mengimbangkan keadaan inflasi kerana ia menaikkan kemampuan golongan bawahan dan mengurangkan perbelanjaan golongan berada. Dengan cara itu dapat mengelakkan berlakunya inflasi yang melampau tetapi pada masa sama, tidak ada rakyat yang menderita.

Penulis ialah Pensyarah dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan (INFUS) Kolej Profesional Mara Melaka.

Rakyat kena faham rasional kenaikan harga petrol, diesel

APABILA kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak semalam, orang ramai yang selama ini dibuai dengan pelbagai kemudahan subsidi pastinya mengeluh dan tidak kurang juga yang menyalahkan kerajaan. Benar, bukan mereka saja, tetapi semua orang mengeluh. Malah, bukan pilihan popular bagi kerajaan untuk menaikkan harga minyak. Namun hakikatnya, inilah fenomena yang tidak boleh kita elakkan dan seluruh dunia kini berdepan kenaikan harga minyak sehingga banyak kerajaan terpaksa membuat penyesuaian mengikut kemampuan masing-masing. Taiwan dan Indonesia sudah mengurangkan subsidi bagi mengekang kenaikan harga minyak dunia, manakala semalam giliran Malaysia dan India pula berbuat demikian.

Pengumuman kenaikan harga minyak itu turut mengheret pasaran saham di Asia berikutan kebimbangan melonjaknya inflasi yang boleh menghambat ekonomi serantau. Malah, Kerajaan Filipina semalam mengumumkan pembayaran tunai sekali saja sebanyak 500 peso (RM42) kepada keluarga miskin untuk membayar bil elektrik berikutan harga minyak naik. Sebab itulah apabila kerajaan kita mengumumkan harga minyak naik berkuat kuasa tengah malam tadi, ia turut mengumumkan langkah bagi mengurangkan bebanan rakyat seperti memberi bayaran tunai kepada pemilik kenderaan persendirian, termasuk pemilik motosikal.

Apapun, kerajaan sebenarnya tidak menarik sepenuhnya subsidi apabila mengumumkan harga petrol dan diesel yang masing-masing meningkat 78 sen dan RM1 bagi setiap liter, menjadikan harga baru petrol RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter kerana ia masih pada tahap bawah harga pasaran. Jika subsidi ditarik sepenuhnya, harga petrol tentunya mencecah RM3 seliter iaitu harga pasaran semasa.

Namun, rakyat harus bersedia untuk terus menikmati harga minyak lebih tinggi apabila ia diapungkan seperti harga di pasaran global menjelang Ogos nanti iaitu selepas kerajaan menemui mekanisme terbaik bagi mengurangkan bebanan rakyat. Kenaikan ini adalah yang tertinggi selepas kenaikan terakhir pada 28 Februari 2006 membabitkan tambahan 30 sen bagi seliter petrol dan diesel, masing-masing kepada RM1.92 dan RM1.58 sen seliter.

Harga petrol di Malaysia sebelum ini iaitu RM1.92 seliter dan diesel RM1.58 adalah harga subsidi, menjadikannya antara yang terendah di Asia. Bagaimanapun, harga baru petrol dan diesel ini masih murah berbanding RM5.20 dan RM4.33 di Singapura yang diniagakan berdasarkan harga global. Namun, dengan kenaikan harga minyak itu pula akan memberi impak ke atas inflasi yang berada pada paras tiga peratus April lalu dan dijangka akan naik ke paras lima peratus tahun ini, sekali gus memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna dan pelaburan perniagaan.

Apapun, sesuatu yang harus dipuji ialah sikap majoriti rakyat kita yang faham rasional di sebalik kenaikan itu meskipun mereka setakat mengeluh, tanpa mencetuskan sesuatu tindakan tidak diingini seperti berlaku di negara lain.

Di Indonesia, sepanjang minggu lalu setiap hari berlaku demonstrasi terutama oleh mahasiswa universiti berikutan tindakan kerajaannya menaikkan harga minyak beberapa minggu lalu. Kelmarin ratusan nelayan Britain mengadakan demonstrasi kerana harga minyak naik dan begitu juga berlaku di Bulgaria, Perancis, Belanda dan Sepanyol yang turut membabitkan pemandu trak. Dalam situasi di negara kita, diharapkan pihak tertentu khususnya parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan tidak menyemarakkan emosi rakyat dengan menuduh kerajaan sengaja menaikkan harga minyak. Jika mereka sayangkan negara, marilah sama-sama menjelaskan kepada rakyat mengapa harga minyak terpaksa dinaikkan, bukan mengambil kesempatan secara membabi buta.