31 Jan. – Bursa Malaysia merekodkan peningkatan untung bersih sebanyak 123 peratus kepada RM240.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007, berbanding sebanyak RM108.1 juta pada tahun 2006.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, peningkatan keuntungan itu adalah berikutan prestasi memberangsangkan pasaran saham dan derivatif pada tahun lalu.
Beliau berkata, ekoran pencapaian cemerlang itu, Lembaga Pengarah Bursa Malaysia mencadangkan pembayaran dividen kasar akhir sebanyak 25 sen sesaham.
“Cadangan pembayaran dividen ini menggambarkan komitmen Bursa Malaysia dalam memberi pulangan dan nilai tinggi kepada pemegang saham.
“Jika diambil kira cadangan pembayaran ini, keseluruhan dividen kepada pemegang saham Bursa Malaysia pada tahun 2007 adalah sebanyak 85 sen, meningkat 56 peratus berbanding tahun sebelumnya,” kata Yusli dalam satu taklimat kepada media bagi mengumumkan keputusan kewangan syarikat tersebut, di sini hari ini.
Katanya, untung sebelum cukai Bursa Malaysia melonjak kepada RM319 juta dalam tempoh yang sama, daripada RM152.9 juta pada tahun sebelumnya, sementara pendapatan kendalian berkembang sebanyak 69 peratus kepada RM443.1 juta daripada RM262.1 juta pada 2006.
Hasil operasi syarikat juga meningkat sebanyak 69 peratus kepada RM443.1 juta berbanding RM262.1 juta pada tahun 2006, katanya.
“Hasil urus niaga daripada pasaran saham dan derivatif masing-masing merekod peningkatan 100 peratus dan 35 peratus berikutan aktiviti dagangan yang lebih tinggi sehingga purata dagangan harian mencecah RM2.3 bilion sehari pada 2007, berbanding hanya RM1.1 bilion pada 2006,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung prestasi kewangan Bursa Malaysia, Yusli berkata, pihaknya berjaya melepasi sasaran indeks prestasi utama (KPI) bagi tahun 2007 dari segi pulangan ke atas ekuiti (ROE), hala tuju dan pertumbuhan dalam bilangan kontrak-kontrak derivatif.
“Dari segi pulangan ke atas ekuiti (ROE) Bursa Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 30.3 peratus, berbanding sasaran KPI iaitu sebanyak 16.8 peratus dan lebih tinggi berbanding pencapaian 12.8 peratus pada tahun 2006,’’ tambah beliau.
SASAR DAGANGAN RM2.806 BILION SEHARI
Bursa Malaysia Bhd. menetap sasaran purata nilai dagangan harian pasaran saham tempatan akan meningkat kepada RM2.806 bilion sehari pada tahun ini, naik 22 peratus berbanding RM2.3 bilion yang dicatat pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, peningkatan itu mewakili sasaran peningkatan halaju sebanyak 56 peratus bagi pasaran ekuiti.
“ Meskipun ekonomi global lembab pada masa ini, pasaran Malaysia masih lagi berdaya tahan dan keupayaan mencatat peningkatan tinggi sejajar dengan asas-asas kukuh ekonomi negara,” kata Yusli pada taklimat media mengumumkan keputusan kewangan Bursa Malaysia bagi tahun 2007, di sini hari ini.
Menurut Yusli, pasaran saham tempatan telah mencapai tahap kematangan dan berupaya untuk menarik kemasukan dana-dana asing.
“Jika diambil kira perkembangan positif lain di dalam negara seperti langkah suntikan dana, dasar fiskal serta pencapaian kewangan syarikat yang kukuh, kita mempunyai keupayaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang,” tambahnya.
Pihaknya juga yakin dengan peluang-peluang di pasaran tempatan dan berharap dapat melengkapkannya dengan sistem, produk serta inisiatif baru bagi meningkatkan kerancakan dan mudah tunai pasaran, kata beliau.
Yusli berkata, Bursa Malaysia akan memberi tumpuan kepada mengembangkan pasaran runcit dan derivatifnya pada masa depan.
“Penyertaan runcit dalam pasaran ekuiti kita telah meningkat kepada 37 peratus pada tahun 2007 berbanding 34 peratus pada tahun 2006.
“Namun begitu masih lagi terdapat banyak peluang yang belum diceburi untuk terus menarik segmen ini bagi menjadikan pasaran saham sebagai pilihan utama pelaburan,” katanya.
Mengenai pasaran derivatif, Yusli berkata jumlah dagangan yang tinggi mencerminkan minat yang mapan di pasaran dan pihaknya akan memanfaat peningkatan tersebut untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang lebih menarik.
Thursday, January 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment