Tuesday, February 19, 2008

Tahap ekonomi, cuaca global pengaruhi harga makanan

KENAIKAN harga makanan memberi kesan buruk kepada masalah kemiskinan Asia sehingga menimbulkan demonstrasi jalanan. Pakar melihatnya sebagai isyarat daripada masalah yang melanda itu. Faktor daripada peningkatan permintaan terhadap makanan dan kenaikan harga minyak pada peringkat global menyebabkan kenaikan kos makanan utama seperti beras, tepung dan susu. "Ini petunjuk secara umum terhadap kenaikan harga," kata penganalisis bijirin kanan di Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu di Rome, kepada AFP.
Kenaikan harga makanan pada peringkat global mencapai hampir 40 peratus pada 2007 dan ia menimbulkan protes di Myanmar, Pakistan, Indonesia dan Malaysia. "Bagaimanapun, pertumbuhan terhadap ekonomi Asia itu adalah kunci mengapa kenaikan harga itu," kata Joachim Von Braun daripada Institut Penyelidikan Polisi Makanan Antarabangsa. "Pertumbuhan pesat dalam pendapatan per kapita, terutama di Asia menyebabkan permintaan tinggi terhadap makanan dan pada masa sama masalah kemiskinan dan pertumbuhan di negara Asia masih jauh ketinggalan.
"Mereka membelanjakan antara 50 hingga 70 peratus daripada pendapatannya untuk membeli makanan, menjadikan kenaikan harga itu semakin melemahkan," kata Ketua Pengarah Kumpulan Bon Washington, Von Braun. Selain itu, beliau menambah kekurangan pelaburan dalam sektor pertanian, khususnya terhadap pembangunan sains dan teknologi bagi pengairan memburukkan lagi keadaan. Selain itu, secara keseluruhan wujud permintaan yang tinggi terhadap bekalan makanan, perubahan rasa dalam makanan berasaskan daging mendesak kenaikan harga, sejak peladang memberikan bijirin sebagai makanan kepada binatang ternakan. Seorang lagi pakar berkata, kemarau dan cuaca teruk, memberi kesan kepada kenaikan kos pengangkutan, permintaan biofuel serta tiada simpanan mencukupi turut memberi kesan kepada keadaan itu.
Pakar Ekonomi ANZ Bank Sydney, Katie Dean, berkata di Australia, berlaku kehilangan bekalan tepung hampir setahun disebabkan kemarau, manakala di Amerika Syarikat dan Eropah, cuaca sejuk juga menyebabkan bijirin tidak dapat dituai. "Serangan wabak penyakit selesema burung yang menyerang Asia juga menyebabkan kesan kepada bekalan ayam dan daging. Selain itu, di China khinzir juga diserang penyakit," katanya. Perubahan cuaca memberi kesan kepada penuaian terhadap makanan dan bijirin. Bangladesh juga berusaha keras menghadapi isu kekurangan makanan selepas negara itu diserang taufan sehingga memusnahkan hasil tuaian beras yang bernilai kira-kira AS$600 juta. Berikutan itu, kenaikan harga beras meningkat kira-kira 70 peratus di Bangladesh pada tahun lalu. Sehingga sekarang, harganya berada pada paras 50 sen sekilogram, tetapi ramai rakyat Bangladesh kini hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$1 sehari. Baru-baru ini, tidak sangka ribut salji yang berlaku di China pula memusnahkan kawasan tanaman beras menyebabkan menaikkan harga makanan yang sudah sedia naik sehingga menakutkan rakyatnya. Pakar masih bimbang semua keadaan yang berlaku itu juga ada kaitannya dengan kesan pemanasan global. Bagaimanapun, kajian Universiti Stanford mendapati perubahan cuaca boleh mengurangkan 10 peratus atau lebih pengeluaran bijirin, jagung dan beras di Asia Tenggara, menjelang 2030. Perubahan cuaca, khususnya pengurangan pancaran gas rumah hijau untuk membanteras pemanasan global, juga memberi kesan kepada permintaan terhadap biofuel. Harga minyak mentah yang tinggi, iaitu mencapai tahap rekod paling tinggi pada Januari, menjadikan pengeluaran biofuel lebih berbentuk komersial. Matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan biofuel sebagai bahan utama bagi menghadapi tekanan kenaikan harga dan kemungkinan kenaikan struktur harga makanan secara keseluruhan. Sebagai contoh, Thailand meminta semua penggunaan biodiesel, termasuk barang komponen daripada minyak kelapa sawit selain untuk memasak. Angka agensi makanan bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan jumlah penggunaan jagung untuk biofuel secara berganda pada 2003 dan jangkaan orang Eropah menggunakan tepung untuk arak meningkatkan kepada 12 kali ganda pada 2016. Peningkatan pengeluaran makanan bijirin adalah dalam jangka masa panjang. Aliran seumpama itu memberikan kebimbangan kepada kerajaan di Asia berkaitan kenaikan harga makanan. Indonesia mengurangkan tarif import kacang soya dan makanan asas yang semua hampir diperoleh dari Amerika Syarikat dan mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import. Malaysia pula menubuhkan pusat simpanan makanan kebangsaan.

No comments: