Sunday, February 10, 2008

Impak ekonomi landa Sarawak

KINI tiba giliran Sarawak, negeri terbesar di Malaysia dengan keluasan 124,449 kilometer persegi, melancarkan koridor wilayah dalam melengkapkan misi pucuk pimpinan negara, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mahu membawa pembangunan seimbang ke seluruh negara. Sarawak Corridor of Renewable Energy (Score) atau Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak - koridor kelima dan terakhir dilaksanakan di negara ini, dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri di Bintulu Prominade, bandar Bintulu, di wilayah tengah Sarawak, hari ini.

Wilayah itu dipilih sebagai lokasi koridor Sarawak ini, membabitkan kawasan sepanjang 320 kilometer di kawasan pesisiran dari Tanjung Manis ke Similajau, meliputi kawasan sekitarnya serta pedalaman. Ia merangkumi kawasan seluas kira-kira 70,709 kilometer persegi dengan penduduk seramai 607,800 orang.

Tiga kawasan pertumbuhan utama dalam koridor Sarawak ini ialah Tanjung Manis di Selatan, Mukah (tengah) dan Similajau (utara). Koridor Score turut merangkumi beberapa pusat bandar utama seperti Sibu, Bintulu, Mukah, Sarikei dan Kapit.

Seperti juga empat koridor wilayah sebelum ini, rangka tindakan pelaksanaannya digariskan selari dengan Misi Nasional dengan lima teras utama iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan, menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

Pelan pembangunan dan strategi untuk pelaksanaan Misi Nasional akan memantapkan usaha ke arah mencapai Wawasan 2020.

Dengan keluasan Sarawak yang hampir menyamai seluruh Semenanjung dan jauh lebih besar berbanding Sabah yang berkeluasan 76,115 kilometer persegi, menyebabkan perancangan cukup teliti harus dilakukan kerajaan dalam memilih pusat pertumbuhan Score, untuk menjamin satu pelan tindakan lebih fokus dan strategik supaya limpahan pembangunan yang dibawa nanti akhirnya dapat dinikmati seluruh Sarawak dan kira-kira 2.6 juta penduduknya.

Berbeza dengan empat koridor wilayah yang dilancarkan sebelum ini - Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mendapat liputan meluas media beberapa minggu sebelum pelancarannya, kerajaan Sarawak mengambil sikap berbeza dan tidak mahu media menyiarkan pelan dan strategi pembangunan Score sehinggalah ke hari perasmiannya hari ini, demi memberi penghormatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menurut buku khas yang dikeluarkan kerajaan negeri - 'Sarawak Corridor of Renewable Energy An Overview' - Score bakal menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Bumi Kenyalang, sekali gus membantu Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2020.

Visi Score ialah menjelang 2030, wilayah tengah Sarawak akan berubah wajah menjadi kuasa ekonomi utama negeri itu.

Rangka pelan tindakan Score mengandungi tiga komponen strategik teras dan tiga komponen strategik sokongan bagi memastikan ia dapat mencapai visi serta objektif disasarkan. Komponen strategi teras meliputi strategi pembangunan industri yang memfokuskan kepada 10 keutamaan industri, strategi pemasaran dan strategi pembangunan.

Score juga memerlukan suntikan pelaburan berjumlah RM334 bilion untuk dibangunkan sepenuhnya dan mencapai visi yang disasarkan, iaitu RM200 bilion pelaburan di bidang industri; RM67 bilion sektor tenaga; infrastruktur fizikal (RM61 bilion); modal insan (RM3 bilion) dan infrastruktur institusi (RM3 bilion).

Dengan kurniaan limpahan kekayaan sumber tenaga di wilayah tengah Sarawak seperti kuasa hidro sebanyak 28,000 megawatt, arang batu 1.46 bilion tan metrik dan gas asli 40.9 trilion kaki padu persegi - pembangunan Score diyakini akan menghasilkan impak cukup besar kepada ekonomi dan profil demografi Bumi Kenyalang dalam jangka masa panjang, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk di seluruh pelosok negeri berkenaan.

Kewujudan sumber tenaga ini memberi kelebihan kepada Sarawak dalam penawaran harga tenaga yang lebih kompetitif untuk merangsang pelaburan dalam sektor tenaga dan menggalakkan pembangunan industri berintensifkan tenaga yang akan menjadi penggerak kepada pembangunan perindustrian Score.

Pembangunan Score adalah satu inisiatif penting untuk pembangunan wilayah tengah Sarawak dan seterusnya menjadi pemangkin pembangunan seluruh negeri itu ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2020. Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi serta mempertingkatkan kualiti hidup rakyatnya. Pelaburan di koridor ini akan difokuskan kepada tiga pusat pertumbuhan utamanya iaitu Mukah, Tanjung Manis dan Similajau.

Pemilihan pusat pertumbuhan utama adalah elemen penting dalam pelan strategik pembangunan koridor ini. Mukah akan dibangunkan menjadi Bandar Pintar dan menjadi nadi utama Score. Tanjung Manis akan dibangunkan sebagai Bandar Pelabuhan Industri, manakala Similajau akan menjadi Pusat Industri Berat.

Pembangunan ketiga-tiga pusat ini akan mewujudkan sinergi yang akan menggerakkan pertumbuhan dan pembangunan khususnya di wilayah tengah Sarawak dan seluruh Sarawak amnya. Sementara itu, pusat pertumbuhan lain seperti Semop, Balingian, Selangau, Samarakan, Bakun, Nanga Merit dan Tunoh juga akan menikmati limpahan pembangunan hasil daripada pembangunan di ketiga-tiga pusat pertumbuhan utama berkenaan.

Koridor Sarawak ini mempunyai matlamat utama untuk membangunkan sepenuhnya potensi ekonomi serta mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan pelbagai etnik di Sarawak. Asas penjanaan ekonomi negeri adalah daripada sumber semula jadi yang banyak dan belum lagi dibangunkan sepenuhnya dalam bidang tenaga dan perladangan.

Selepas kerajaan membangunkan semua sumber semula jadi dan memodenkan ekonomi, Score akan memberi faedah besar kepada kawasan pedalaman dan luar bandar serta kawasan bandar. Pembangunan Koridor Sarawak akan melangkaui pembangunan bandar dan pembinaan di kawasan bandar yang boleh dilihat pada mata umum. Ia hanyalah sebahagian daripada strategi ekonomi yang akan memacu pembangunan di koridor ini.

Lebih daripada itu, koridor ini akan membuka dan membangunkan kawasan pedalaman dan kawasan luar bandar di mana sumber ini terletak. Kerajaan berasakan perlu membangunkan sektor tenaga dan industri minyak kelapa sawit, penanaman hutan dan industri lain, sekali gus memperkenalkan nilai tambah dalam asas industri.

Justeru, koridor Sarawak adalah satu strategi pembangunan bersepadu yang bukan saja akan mewujudkan Pusat Pertumbuhan Luar Bandar, malah mempertingkatkan perhubungan infrastruktur dan pembangunan industri berkaitan. Seperti ditegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Sarawak mempunyai banyak sumber semula jadi dan tenaga adalah sumber paling strategik. Sumber tenaga utama adalah daripada kuasa hidro, arang batu, tenaga solar dan sebagainya.

No comments: