Thursday, January 24, 2008

Kadar inflasi 2.4 peratus

Langkah berterusan kerajaan mengawal dan menstabilkan harga barang keperluan berjaya membendung kadar inflasi yang diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 2.4 peratus sahaja bagi Disember tahun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, angka itu dianggap rendah berbanding kadar di negara-negara lain.
''Bagi November tahun lepas, IHP Malaysia hanya 2.3 peratus berbanding jiran terdekat Indonesia (6.7 peratus), Singapura (4.2), Thailand (3.0), Filipina (3.2), Korea Selatan (3.5), Taiwan (4.8) dan China (6.9),'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Serantau Asia Pasifik Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) mengenai Perlindungan dan Penguatkuasaan Hak Harta Intelek dalam Memerangi Penipuan dan Lanun di sini hari ini.

Bagi bandar besar dalam November lepas, Mohd. Shafie berkata, Kuala Lumpur mencatat peningkatan tertinggi iaitu 2.5 peratus, diikuti Kota Kinabalu (2.2), manakala IHP bagi Kuching meningkat 2.0 peratus.

Katanya, dibandingkan IHP November lepas dengan sebelumnya, IHP bagi kumpulan berpendapatan kurang RM1,000 meningkat 2.5 peratus, manakala bagi kumpulan berpendapatan kurang RM1,500 meningkat 2.4 peratus berbanding dengan purata kenaikan 2.3 peratus bagi Malaysia keseluruhannya.

Beliau menjelaskan bahawa IHP mengukur perubahan peratus kos pembelian mengikut masa bagi sebakul tetap barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada sesuatu tempoh masa yang ditetapkan.

Mohd. Shafie berkata, peningkatan IHP itu disebabkan kenaikan indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu sebanyak 4.2 peratus.

Katanya, peningkatan indeks kumpulan itu disebabkan kenaikan subkumpulannya iaitu beras, roti dan bijirin lain sebanyak 5.1 peratus; ikan dan makanan laut (3.1 peratus); susu, keju dan telur (7.7 peratus) serta sayur-sayuran (5.1 peratus).

Mohd. Shafie berkata, penyumbang lain termasuk kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang meningkat 1.1 peratus serta kumpulan pengangkutan (1.2 peratus).
"Indeks harga di peringkat nasional merupakan ukuran purata perubahan harga bagi 460 barangan dan perkhidmatan, ia tidak menggambarkan perubahan harga bagi sesuatu item tertentu," katanya.

Mohd. Shafie berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas mencatat peningkatan 2.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2006.

- Bernama 24/01/08

No comments: