Monday, January 14, 2008

PERKEMBANGAN EKONOMI

Naza Sutera ke pasaran Singapura


NAZA Corporation Sdn Bhd mencatat satu lagi sejarah apabila membuat kemunculan sulung di Singapura dengan membawa masuk model Naza Sutera 1.1 liter ke pasaran negara berkenaan.

Selepas berjaya mencipta nama sebagai antara jenama berpotensi di Malaysia, kemasukan model Naza yang direka dengan input daripada Lotus Engineering dijangka mendapat sambutan di Singapura.

Naza Sutera akan menjadi kereta berkelas dunia yang dibangunkan negara ini dan bakal dieksport ke negara seperti Thailand, Indonesia, Brunei, Bangladesh dan Nepal

Nascar Pte Ltd, pengedar rasmi Naza di Singapura, melabur kira-kira S$10 juta (RM23 juta) dalam operasi, khidmat pelanggan, kepakaran teknikal, infrastruktur bengkel dan peralatan.

Nascar adalah anak syarikat The J & J Group Pte Ltd, pengedar tunggal Perodua dan TD 2000 dari Malaysia, selain koc mewah Golden Dragon, kargo dan kenderaan komersial penumpang dari China.

Susulan pengembangan perniagaannya, kumpulan itu membuka pejabat serantaunya di China dan Malaysia pada 2004, malah dengan sokongan sistem pengurusan moden dan perisian daripada International Enterprise (IE) Singapore, ia mensasar untuk bersaing pada peringkat global.

Renesas perbesar kilang di Kedah : Pengeluar semikonduktor terkemuka dunia labur RM28 juta, sasar produk 1.2 bilion sebulan


ENESAS Technology Corp, pengeluar sistem semikonduktor terkemuka dunia, melabur sehingga AS$9 juta (RM28 juta) bagi program pembesaran operasi kilangnya, Renesas Semiconductor (Kedah) Sdn Bhd (RSK) di Kedah.

Syarikat itu juga akan melabur RM1 juta bagi pengembangan operasi kilangnya yang beroperasi di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Program pembesaran itu akan meningkatkan sekali ganda pengeluaran semikonduktor analog dan berasingan di RSK daripada 600 juta unit kepada 1.2 bilion sebulan

Pengeluaran semikonduktor analog dan berasingan di Malaysia menyumbang kira-kira lima peratus pendapatan keseluruhan Renesas yang mempunyai kilang di Jepun, China, Eropah, Singapura, Korea, Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Kira-kira 10 peratus daripada operasi Renesas adalah bagi pengeluaran semikonduktor analog dan berasingan.

Kemudahan kilang Renesas di Malaysia ketika ini seluas 37,000 meter persegi dan dengan proses pembesaran kilang RSK, keluasannya akan meningkat kepada 43,000 meter persegi.

PTP sedia tambah kemudahan

PELABUHAN Tanjung Pelepas Sdn Bhd, pengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya Johor, kini bersedia untuk mengembangkan kemudahan sedia adanya bagi menampung pertumbuhan perdagangan kontena global bagi tempoh lima tahun akan datang.

Perdagangan kontena global yang diunjurkan berkembang pada purata lapan hingga 10 peratus setahun dalam tempoh berkenaan kerana permintaan bagi kapasiti pelabuhan ini untuk mengendalikan pertumbuhan berkenaan akan menjadi ketara.

Sementara pelabuhan lain di seluruh dunia diunjurkan menghadapi cabaran daripada segi kekangan kapasiti.

Perbankan runcit CIMB kekal rekod cemerlang

Bank lancar lebih banyak produk baru tarik, tingkat asas pelanggan

CIMB Bank Bhd terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam sektor perbankan runcit apabila mencatatkan deposit berjumlah RM28 bilion setakat ini.

Jumlah itu meningkat daripada RM25 bilion yang dicatatkan pada 2006 sejajar asas pelanggannya lebih besar serta program promosi agresif untuk menarik pelanggan.

Sebanyak RM840 juta atau kira-kira tiga peratus daripada jumlah deposit runcit yang terkumpul setakat ini disumbangkan operasi perbankan Islam, menerusi CIMB Islamic Bank.

Sebahagian besar deposit yang disumbangkan CIMB Islamic Bank adalah menerusi produk CIMB Islamic Advanced Profit-i yang mendapat sambutan menggalakkan di kalangan
pelanggan

BH 14/01/08

No comments: