TAHUN 2008 disambut dengan perasaan gembira berbaur gundah gulana berikutan barang keperluan utama semuanya meningkat hingga menjadikan masyarakat semakin sarat dengan pelbagai masalah kehidupan.
Lihatlah di sekeliling pasar raya yang kita kunjungi, harga tepung naik, harga gula naik, harga barang makanan harian naik dan terus naik. Tiada satu petunjuk kukuh membayangkan penurunan harga. Bekalan minyak masak pula kehabisan, pengusaha bas sekolah akan menaikkan tambang dan pelbagai lagi barang kegunaan harian yang terus-terusan naik dan tidak pernah menurun.
Harga minyak petrol semakin lama semakin meningkat dan keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin sesak nafas dan sakit dada memikirkan perbelanjaan hidup yang semakin meningkat. Naiknya harga barang keperluan harian menyebabkan ramai masyarakat menghidap penyakit ‘naik darah’, ‘naik angin’ dan ‘naik minyak’.
Apa tidaknya, kenaikan gaji yang diperoleh kakitangan awam dan swasta tidak dapat dinikmati dengan rasa gembira kerana perasaan itu dilunturkan oleh kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Bayangkan jika sebuah keluarga sederhana tahap pendapatannya RM3,000 sebulan hasil pendapatan suami isteri dengan bilangan anak seramai empat orang, bagaimana mereka hendak hidup dengan rasa keharmonian jika kos sara hidup terus-terusan meningkat.
Pelbagai perbelanjaan hidup yang perlu dibereskan seperti bayaran sewa atau pinjaman perumahan, bayar hutang kereta, bayaran bil elektrik dan air, makan dan minum keluarga, pakaian dan riadah keluarga, belanja sekolah anak dan pelbagai belanja rampai yang perlu ditanggung keluarga, dengan purata melebihi tahap pendapatan yang ada.
Apa yang tinggal daripada pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 itu? Tidak lain tidak bukan yang tinggal hanya hutang yang tidak berbayar. Keadaan ini kadang-kala menimbulkan gangguan emosi sehingga menjadikan hidup tertekan dan terganggu kesan kenaikan sara hidup ini.
Kita ambil contoh sebuah keluarga yang tinggal di flet kos rendah, anak tiga orang dengan purata gaji bulanan suami isteri yang bekerja kira-kira RM2,500. Bagaimana keadaan kehidupan keluarga ini boleh memberi tekanan dan gangguan emosi keluarga berkenaan?
Persekitaran rumah flet kos rendah biasanya dihuni oleh ratusan keluarga dengan pelbagai kerenah dan sikap yang ada kalanya memeningkan kepala penghuninya. Masalah lif, sampah sarap, kebisingan, api dan air dan kemudahan persekitaran serta sikap kejiranan yang ada kalanya menjadikan sesebuah keluarga itu tertekan.
Bayangkan isteri yang penat bekerja sebagai staf sokongan contohnya, pulang ke rumah melihat keadaan rumah yang berselerak dan persekitaran bising pasti menjadikan emosinya terganggu dan membuatkan isteri berkenaan cepat naik darah serta cepat marah kerana persekitaran tidak selesa itu.
Dengan ketidakselesaan keadaan kehidupan itu ditambah lagi dengan masalah kewangan yang timbul berikutan kenaikan harga barang menjadikan perasaan si isteri tertekan. Bila tekanan ini tidak dapat dikurangkan, isteri semakin terganggu sehingga ada yang sanggup terjun dari tingkap flet rumah semata-mata kerana tekanan hidup.
Kesan kenaikan harga barang juga menjadikan setiap keluarga terpaksa mengurangkan perbelanjaan keluarga khususnya barang makanan. Ada keluarga di bandar yang terpaksa mengikat perut apabila menjelang pertengahan bulan kerana tidak cukup wang dan kesempitan wang untuk menampung perbelanjaan keluarga yang ramai. Anak yang sedang membesar perlukan makanan dalam kuantiti banyak dan permintaan anak untuk makan makanan kegemaran mereka seperti ayam goreng, daging dan sebagainya tidak dapat dipenuhi ibu bapa berpendapatan kecil. Ia menjadikan anak kecewa dan ada yang sanggup mencuri secara kecil-kecilan di pasar raya dan sebagainya semata-mata untuk menampung keperluan diri sendiri.
Kenaikan kos sara hidup juga memberi impak kepada perhubungan suami isteri. Suami isteri yang menghadapi masalah kewangan sering melampiaskan rasa kecewa, marah dan sakit hati mereka kepada pasangan masing-masing.
Bagi pasangan yang tinggal di bandar, terlalu banyak tekanan yang mereka hadapi, tekanan di jalan raya kerana kesesakan lalu lintas, berjam-jam memandu untuk pergi dan pulang kerja amat meletihkan, sampai ke tempat kerja ada pula tekanan di tempat kerja dan balik ke rumah dengan rasa tertekan, pasangan pula tidak memahami dan menambah lagi tekanan sedia ada. Ia memudahkan pasangan suami isteri bertengkar dan bercakaran kerana menghadapi tekanan hidup.
Tekanan yang dirasai itu menyebabkan ada pasangan yang bercerai berai dan berlakunya perpecahan rumah tangga. Perceraian dan perpecahan ini menimbulkan keadaan huru hara dalam keluarga dan pastinya anak menjadi mangsa.
Kenaikan kos sara hidup ini memberi kesan juga terhadap sikap dan perlakuan pekerja di tempat kerja. Semua kakitangan ingin mendapat kenaikan pangkat dan prestasi kerja cemerlang bagi mendapat insentif kenaikan gaji dan bonus tinggi kesan daripada kenaikan pangkat berkenaan. Keadaan ini akan menjadikan sikap bekerja lebih fokus kepada budaya kerja yang negatif iaitu mengampu, menikam rakan dari belakang, mengumpat, menghasut dan memporak perandakan interaksi sesama rakan sekerja.
Sikap ketua yang suka marah, perlakuan rakan sekerja yang mementingkan diri sendiri kerana masing-masing ingin berebut kenaikan pangkat dan mengejar prestasi tinggi ini menjadikan pekerja terbabit terus menerima tekanan hebat sehingga menjejaskan emosi pekerja berkenaan. Sikap masyarakat yang fokus kepada materialistik juga memberi kesan terhadap emosi keluarga. Bagi keluarga yang berada dan suka menunjuk-nunjuk kemampuan mereka dengan kereta mewah, perabot baru, percutian keluarga, anak dimewahkan dengan wang ringgit, pakaian cantik dan makanan enak yang dinikmati memberikan tekanan kepada keluarga yang tidak berada, tetapi berkeinginan untuk menikmati kemewahan itu.
Ada isteri yang mengetahui tahap kemampuan suami yang rendah, tetapi sentiasa mendesak untuk dipenuhi kemahuan mereka bagi menukar perabot dan kereta baru, pakaian cantik dan sebagainya. Suami yang menurut saja kehendak isteri ini, tetapi tidak berkemampuan akan melakukan jenayah kolar putih seperti rasuah, pecah amanah, mencuri harta syarikat dan sebagainya.
Akhirnya suami ditangkap pihak berkuasa kerana pembabitan itu semata-mata memenuhi tuntutan hidup si isteri. Keadaan ini memberi tekanan hebat pada keluarga terbabit.
Oleh yang demikian, setiap keluarga harus berwaspada dalam menjalani kehidupan seharian kesan kenaikan harga barang keperluan harian ini dengan membuat perancangan kehidupan yang kemas daripada aspek kewangan dan kehidupan sosial keluarga agar gangguan emosi dan tekanan hidup dapat dihindari.
Pepatah ada mengatakan ‘berjimat cermat membawa berkat’ adalah perumpamaan tepat bagi membentuk kehidupan keluarga yang berkualiti pada tahun ini.
Thursday, January 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment