KEJAYAAN Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang secara tiba-tiba melepasi paras 1,500 mata minggu lalu adalah sesuatu yang di luar jangkaan.
Sepanjang minggu lalu, harga saham di Bursa Malaysia meneruskan rali susulan sokongan keuntungan tinggi dalam saham perbankan dan perladangan membantu KLCI mencatatkan rekod tertinggi untuk tempoh lima hari dagangan berturut-turut.
KLCI menokok 49.55 mata, atau 3.38 peratus minggu lalu untuk ditutup pada 1,516.22 mata, satu lagi rekod tertingginya, dengan purata dagangan harian melebihi 1.4 bilion saham berbanding 743.1 juta saham minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan minggu lalu sebanyak 1.76 bilion saham adalah yang tertinggi sejak 30 Oktober tahun lalu dengan nilai urus niaga mencapai RM4.36 bilion, iaitu paras kedua tertinggi selepas 28 Februari 2007 yang menyaksikan jumlah dagangan RM5.32 bilion.
Peningkatan minggu lalu dipacu beberapa faktor termasuk kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM), khabar angin pilihan raya yang semakin hampir dan keuntungan besar dicatatkan di bursa saham Amerika Syarikat (AS).
Di sebalik dua faktor pertama yang mungkin kekal relevan, kegiatan pengambilan untung dijangka berlaku minggu ini berdasarkan isyarat lebihan belian dalam dagangan harian dan mingguan yang ditunjukkan pergerakan KLCI.
injauan ekonomi AS yang kelihatan goyah dan pembetulan mendadak pasaran saham negara itu Jumaat lalu mungkin menghakis kualiti prestasi baik dipamerkan Bursa Malaysia minggu lalu.
Sebagai sebuah negara berasaskan eksport, kelemahan berterusan dan potensi berlakunya kelembapan ekonomi di AS sudah pasti akan memberi kesan terhadap Malaysia. Ini terutama eksport barangan elektrik dan elektronik yang mana kesannya sudah dirasai seperti ditunjukkan data eksport dan indeks perindustrian bagi November.
Dengan harga MSM disasarkan sekitar RM2,800 dan RM2,900 setan tahun ini seperti diperkatakan peniaga, tanggapan bahawa harga akan kekal pada paras RM3,000 setan mungkin akan menjadi pemanis dalam memastikan harga saham kaunter perladangan akan terus naik.
Berita Thailand mungkin akan mengimport minyak sawit dan langkah untuk mengurangkan eksport komoditi itu bagi memenuhi keperluan domestik serta kejatuhan 15.4 peratus eksport bulanan kepada 1.4 juta tan bagi Disember berikutan banjir, akan menjadi pemacu peningkatan harga MSM dalam tempoh terdekat ini.
Rali sebelum pilihan raya akan meningkatkan keyakinan pelabur serta langkah bagi menjana dana untuk kempen pilihan raya yang kelihatan tidak lama lagi. Namun, ia bukanlah pemacu yang akan terus kekal untuk meningkatkan indeks di bursa saham.
Berdasarkan isyarat lebihan belian, pembetulan pengambilan untung dijangkakan berlaku minggu ini. Lebih-lebih lagi pembetulan mendadak dalam urus niaga semalaman di bursa saham AS Jumaat lalu berikutan kelemahan ekonomi itu akan mendorong kegiatan pengambilan untung.
Paras sokongan KLCI kini disemak semula kepada 1,490 mata dengan sokongan lebih kukuh disaksikan pada 1,470 mata, manakala paras bulis 1,450 mata akan menjadi platform sokongan.
Saham pilihan pula adalah daripada sektor minyak dan gas serta perladangan berdasarkan harga minyak mentah dan MSM yang kukuh.
BH 14/01/08
No comments:
Post a Comment