Wednesday, January 30, 2008

MAS boleh untung tahunan RM1.5b menjelang 2012

Aspirasi Malaysian Airline System Bhd (MAS) dalam Rancangan Transformasi Perniagaan (BTP2) akan menepati sasarannya jika ia mencapai keuntungan tahunan sebanyak RM400 hingga RM550 juta tahun ini.

Dalam satu kenyataannya kepada Bursa Malaysia di sini hari ini, MAS berkata, di bawah BTP2 itu, ia berhasrat menjadi Syarikat Penerbangan Nilai Lima Bintang (FSVC) Dunia bagi menyediakan produk dan perkhidmatan pada harga termampu dinikmati.

Ia berkata, pencapaian itu akan dianggap “luar biasa” jika keuntungannya mencecah RM551-RM650 juta dan “cemerlang” jika ia mencecah RM651-RM1 bilion.

“Kami percaya jika kami menyasarkan yang terbaik dan berusaha sedaya upaya, kami boleh mencapai keuntungan tahunan sebanyak RM1.5 bilion menjelang 2012 meskipun selepas mengambil kira cabaran-cabaran dalam industri seperti lebihan kapasiti, pelonggaran lalu lintas udara dan kos bahan api yang semakin meningkat,” katanya.

MAS berkata, faedah nencapai status FSVC ialah ibarat membina kapal yang boleh mengharungi gelora paling buruk.

“Jika tahap lebihan kapasiti dan liberalisasi itu kurang daripada yang dijangkakan, ada kemungkinan kami mencapai keuntungan yang lebih tinggi lagi, iaitu di antara RM2 bilion dan RM3 bilion setahun.

“FSVC adalah laluan MAS menuju kelangsungan hidup dan kejayaan jangka panjang. Keupayaan MAS melaksanakan strategi FSVC ini merupakan titik-tolak untuk mengembangkan syarikat penerbangan itu menjadi juara dunia. MAS boleh melakukannya, dan akan melakukannya,” tegas syarikat itu.

MAS berkata, syarikat itu amat berhasrat untuk terus menepati malah melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Indeks Prestasi Utamanya. Syarikat itu berkata, kebimbangan utamanya ialah lebihan kapasiti.

“Berdasarkan anggaran industri, lebih 400 pesawat baru memenuhi ruang angkasa Asia Pasifik, India dan Asia Barat pada 2007, dan lebih 400 lagi dijangka dalam 2008.

“Fenomena pertumbuhan tanpa sekatan ini akan menambah kesengitan persaingan dalam pasaran, dan menghakis margin keuntungan dan pulangan MAS,” katanya.

– Bernama UM 31/1/08

No comments: