Wednesday, May 28, 2008

Zon makanan Asia Timur

KRISIS makanan global yang mula dirasai kegetirannya pada awal tahun ini memberi petunjuk bahawa dunia tidak boleh meminggirkan sektor pertanian yang selama ini lebih banyak dikaitkan dengan kegiatan sara diri.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengunjungi rakan sejawatannya, Yasuo Fukuda di Tokyo baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk mengajak negara matahari terbit itu melabur dalam bidang pertanian sebagai langkah jangka panjang menjamin bekalan makanan mencukupi.
Abdullah mahu satu dimensi baru pelaburan diwujudkan iaitu meletakkan sektor pertanian sama pentingnya dengan perindustrian dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan.
Pada masa yang sama, Jepun juga memerlukan bahan mentah bagi menggerakkan industri makanannya. Ini bermakna kedua-dua negara boleh menjadi rakan kongsi untuk menjana aktiviti berkenaan.
Setelah sekian lama menjalani hubungan diplomatik, Malaysia merupakan destinasi pelaburan Jepun yang melibatkan sektor pengilangan dalam produk elektrik, elektronik dan automotif.
Tahun lalu, Jepun melabur sebanyak RM6.5 bilion berbanding dengan RM4.4 bilion pada tahun sebelumnya manakala perdagangan meningkat kepada RM120.7 bilion daripada RM115.7 bilion yang sekali gus menunjukkan keyakinan negara itu terhadap Malaysia.
Terdapat lebih 1,400 buah syarikat Jepun di Malaysia dan negara itu merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar bagi negara ini dan dagangan dua hala mencatatkan 11 peratus atau lebih daripada satu persepuluh volum dagangan keseluruhan Malaysia.
Dalam pertemuan empat mata Jumaat lalu itu, Abdullah mempelawa Fukuda melaksanakan projek berskala besar dalam bidang pertanian termasuk akuakultur, ternakan dan perkilangan yang berkaitan dengan pengeluaran makanan.
Kata beliau, Malaysia memiliki kawasan luas untuk tujuan pertanian yang sesuai untuk projek berskala besar seperti di Sabah dan Sarawak.
Jelas Perdana Menteri, untuk menggerakan usahasama itu, kedua-dua negara perlu menggunakan teknologi tinggi melalui bioteknologi.
"Dengan menceburi bidang pertanian berteknologi tinggi dan bioteknologi, ia dapat meningkatkan pengeluaran makanan yang berkualiti. Pengeluaran ini termasuk makanan dalam tin atau makanan segar.
"Dengan cara ini pendekatan untuk mencapai dasar food security atau cukup makanan juga akan dapat dicapai," katanya.
Selain itu, Abdullah turut mempelawa Jepun terlibat dalam beberapa koridor pembangunan dan meneroka pelaburan dalam industri halal di negara ini.
Abdullah terus menekankan mengenai kepentingan mewujudkan kerjasama dalam meningkatkan bekalan makanan terutamanya dalam negara Asia Timur, ketika berucap dalam Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-14 Menangani Masa Depan Asia, Jumaat lalu.
KenaikanBeliau berkata, kerjasama itu boleh dibentuk apabila Piagam ASEAN menjadi kenyataan kerana negara-negara anggota termasuk rakan kongsi ASEAN + 3, China, Jepun dan Korea Selatan menangani secara bersama masalah kenaikan harga makanan dan kekurangan bahan itu.
''Langkah ini termasuk memperkukuhkan pelan Rizab Keselamatan Makanan ASEAN dan Rizab Kecemasan Beras Asia Timur," ujar Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta empat lagi negara anggota ASEAN agar tidak menangguhkan pengesahan piagam berkenaan memandangkan ini akan mewujudkan kesukaran untuk rantau ini menguruskan secara berkesan kenaikan harga makanan dan masalah bekalan.
Negara yang belum mengesahkan piagam tersebut adalah Indonesia, Thailand, Filipina dan Myanmar manakala Malaysia, Singapura, Brunei, Laos, Kemboja dan Vietnam sudah membuat pengesahan.
Dalam persidangan itu, beliau menarik perhatian bahawa negara Asia Timur pada tahun ini sedang melalui tempoh paling mencabar kerana selain menghadapi bencana alam iaitu taufan Myanmar dan gempa bumi di China, masalah kenaikan harga makanan, minyak dan komoditi lain memberikan tekanan terutamanya kepada penduduk miskin.
Krisis harga makanan sedunia yang menyaksikan kenaikan harga makanan global secara mendadak telah mengakibatkan krisis buruk di sesetengah kawasan termiskin di dunia, serta ketidakstabilan politik dan pergolakan sosial di sesetengah negara.
''Kemiskinan masih menjadi masalah besar di rantau ini. Pada tahun 2005, kira-kira 170 juta penduduk berhadapan kemiskinan melampau manakala 585 juta penduduk hidup dengan pendapatan AS$2 sehari," katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, negara Asia Timur perlu berusaha mewujudkan keamanan dan kemakmuran yang sebenar di rantau itu, di sebalik cabaran-cabaran tersebut.
Katanya, usaha menangani kemiskinan perlu dilakukan secara agresif kerana agak memalukan untuk mengaitkan Asia Timur dengan kemakmuran, ekonomi maju dan pusat pertumbuhan masa depan sekiranya jutaan penduduk di rantau tersebut masih berlapar setiap hari.
Justeru, hasrat Malaysia untuk mewujudkan kerjasama dengan Jepun dalam sektor pertanian dan menjadi pembekal makanan ke seluruh dunia terutama rantau ini adalah amat bertepatan dengan suasana yang dilalui sekarang.
Bagi Malaysia, sektor pertanian perlu dijadikan satu aktiviti perniagaan selain perindustrian untuk memulihkan bekalan makanan yang sememangnya tidak dapat ditangani dalam tempoh singkat.
Respons Malaysia dalam menangani krisis makanan terutamanya di negara Asia Timur ini, perlu disambut oleh Jepun dan negara Asia Timur lain dalam mewujudkan keselamatan makanan serantau.

No comments: