Wednesday, May 7, 2008

AS contohi Malaysia tambat mata wang dolar

SELEPAS 10 tahun Malaysia melaksanakan langkah kawalan kewangan secara berpilih berikutan krisis kewangan serantau paling teruk pada 1997/98, akhirnya Amerika Syarikat (AS) yang kini berdepan krisis ekonomi bertindak mencontohinya. Ketika krisis ekonomi berantai di Asia mencapai kemuncak pada 1998, pentadbiran AS menyelar tindakan kita kerana tidak menyertai Indonesia dan Thailand menerima nasihat dan bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF). Sebaliknya, kita memilih menggunakan pendekatan yang dianggap ‘menyimpang’ dalam menguruskan krisis mata wang, sehingga terpaksa berdepan dengan pelbagai kritikan kononnya langkah itu ‘ke belakang’ dalam pengurusan ekonomi dan kewangan. Namun, selepas dua tahun melaksanakannya, penganalisis ekonomi Barat mula mengakui keberkesanan kita menangani pelbagai masalah berkaitan mata wang. Tindakan memperkenalkan instrumen kewangan itu sebenarnya mampu memperkukuh ekonomi negara serta mencetus perubahan struktural dalam ekonomi tanpa perlu bergantung kepada model pakar ekonomi Barat. Pada tahun itu, kadar tukaran ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS - sebagai sebahagian langkah kawalan tukaran asing berpilih bagi mengekang tekanan luar, terutama spekulator mata wang yang diketuai George Soros, terhadap ekonomi negara yang terjerumus ke dalam kemelesetan.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, ketika memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat kelmarin berkata, kejayaan strategi kewangan ketika berdepan krisis dulu menyebabkan AS mencontohi negara. Katanya, langkah yang diambil Malaysia pada 1998 dianggap pendekatan bijak dan kini AS memilih untuk melaksanakannya. Washington kini berdepan krisis ekonomi berikutan ancaman sub prima yang turut menyebabkan nilai dolar merosot teruk berbanding mata wang asing lain, termasuk Malaysia. Kesan krisis ekonomi AS kini semakin menular ke Eropah dan Jepun, malah Singapura turut bimbang dengan krisis ekonomi yang berlaku di AS hingga meminta rakyatnya bersedia berdepan gelombang krisis yang bakal melanda dunia. Sekiranya ekonomi AS terus merosot, Malaysia yang menjadi antara rakan perdagangan utama akan turut menerima kesan buruknya. Kita berharap, langkah AS mengambil strategi Malaysia dalam mengawal mata wang sedikit sebanyak dapat memberi kesan positif kepada ekonomi dunia secara keseluruhan dan bakal diikuti negara lain, sekiranya berdepan dengan masalah sama. Sebenarnya, demokrasi dalam sistem kewangan dunia perlu ditegakkan selari dengan demokrasi politik kerana negara boleh mengamalkan kaedah kewangan yang dikehendaki selagi ia mendatangkan kesan positif kepada ekonomi. Jika ia berjaya, negara lain boleh mencontohi dan mengambil pendekatan sama bagi menangani masalah terbabit. Tidak hairanlah, Malaysia menarik balik tambatan ringgit yang memberi nilai tinggi berbanding dolar AS kerana berpendapat kita mampu bersaing dengan negara lain. Pada masa sama, kita dapati China terus mengikat mata wang yuan dengan dolar kerana Bank Pusat China masih berpendapat langkah berkenaan menguntungkan ekonominya.

Apa pun, kita berharap semua pihak memberi perhatian serius kepada masalah ekonomi yang berlaku di AS sekarang. Kenaikan harga minyak dan harga makanan dunia tanpa kawalan ke tahap tertinggi kini memerlukan pendekatan holistik ekonomi, bagi memastikan negara dapat menyerap kesan krisis yang berlaku sekarang. Rakyat perlu disedarkan dengan masalah yang negara dan dunia hadapi sekarang supaya perubahan yang bakal berlaku dalam tempoh terdekat, tidak mengejutkan masyarakat secara keseluruhannya.

No comments: