Tuesday, May 13, 2008

Tindakan tepat tangani kenaikan harga beras

KEPUTUSAN kerajaan mengumumkan langkah pemulihan bagi menangani trend kenaikan harga beras yang semakin membimbangkan pengguna sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat jelata.

Lima tindakan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi itu ternyata melegakan semua pihak yang secara perlahan-lahan telah mula merasakan kesan kenaikan harga beras dunia.

Ternyata Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias kenaikan harga beras dunia lantaran negara masih bergantung kepada beras import.

Langkah tersebut juga amat selaras dengan janji-janji kerajaan sebelum ini untuk mengusahakan inisiatif ke arah mengurangkan beban rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan kos hidup.
Biarpun kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta untuk 500,000 tan beras import sebagai subsidi bagi mengekalkan harga beras runcit namun kesemuanya itu adalah demi rakyat.

Begitu juga dengan keputusan untuk terus mengawal harga beras Super Tempatan 15 peratus kerana beras jenis itu biasanya digunakan oleh golongan berpendapatan rendah.

Dalam hal ini matlamat kerajaan amat jelas iaitu mendahulukan kepentingan rakyat serta berusaha membendung kenaikan inflasi yang boleh saja menyebabkan ekonomi negara porak-peranda.

Lebih penting lagi kita mahu supaya keputusan kerajaan ini disampaikan ke pelosok tanah air supaya orang kampung tahu harga sebenar beras yang dijual kepada mereka.

Kita tidak mahu kejahilan maklumat itu memberi peluang kepada para peniaga untuk menaikkan harga beras sewenang-wenangnya.

Setiap pemimpin bermula di peringkat penghulu sehinggalah kepada ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri mesti berperanan menyebarkan maklumat terkini.

Jangan kelak selepas pengumuman dibuat masih ada tuduhan di kalangan penduduk luar bandar bahawa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan.

Di sebalik pengumuman yang menggembirakan itu, apa yang lebih penting ialah penguatkuasaan untuk memastikan keputusan kerajaan itu dipatuhi.

Usaha tersebut mesti dilakukan secara berterusan supaya golongan peniaga yang tamak tahu bahawa kegiatan mereka sentiasa dipantau.

Begitu juga dengan kegiatan penyeludupan beras mesti dikawal sepenuhnya supaya matlamat kerajaan memperuntukkan subsidi yang tinggi untuk rakyat Malaysia dapat dicapai.

Semua pihak mesti ingat bahawa subsidi RM725 juta itu adalah demi mengisi perut rakyat Malaysia dan bukannya untuk dikongsi dengan penduduk di negara jiran.

Selain itu, keputusan kerajaan menaikkan Harga Minimum Terjamin bagi padi juga dilihat membela nasib petani.

Sekurang-kurangnya pesawah-pesawah dapat menjual hasil keringat mereka pada harga yang lebih tinggi sekali gus membantu golongan itu menangani kos sara hidup yang meningkat.

No comments: