SEKARANG keselamatan negara bukan sahaja boleh diganggu gugat oleh pihak musuh luar dalam bentuk peperangan, ia juga boleh diganggu gugat oleh masalah kekurangan dan kenaikan harga bekalan makanan asasi. Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran, menggunakan istilah 'the silent tsunami' atau tsunami senyap untuk menggambarkan keadaan yang berlaku sekarang.
Kekurangan dan kenaikan harga bahan makanan bukan sahaja mencetuskan masalah kelaparan dan kekurangan zat makanan, malah ia boleh menimbulkan suasana tidak aman dan keresahan di kalangan masyarakat awam. Buktinya dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, PBB sudah mencatatkan lebih 34 buah kerajaan berhadapan dengan masalah tunjuk perasaan dan rusuhan barang makanan di serata dunia.
Malaysia sebagai sebuah negara yang masih belum mencapai tahap sara diri pengeluaran bahan makanan bagi keperluan penduduknya tidak terkecuali daripada menerima tempias tsunami senyap ini.
Apa yang dikatakan sebagai jaminan barangan makanan dan apakah pelaksanaan yang dilakukan oleh kerajaan kita untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan harganya terkawal?
Bagi menjawab persoalan pertama, takrifan berkenaan jaminan barangan makanan perlu kita perhalusi. Perkara ini penting bagi memastikan masyarakat memperolehi makanan asas yang berkhasiat tanpa perlu berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan atau terpaksa membayar pada harga yang melampau.
Di Malaysia, sebelum kerajaan memperkenalkan Majlis Harga Negara dan Dasar Jaminan Makanan Negara pada awal Januari dan Mei 2008 yang lepas, negara sebenarnya sudah menggariskan matlamat untuk meningkatkan jaminan makanan kepada masyarakat sepuluh tahun dahulu di dalam Dasar Pertanian Negara (1998-2010).
Namun begitu sejauh mana matlamat ini telah dicapai memandangkan tempoh dasar akan berakhir tidak lama lagi?
Berdasarkan kepada maklumat-maklumat data yang dimuatkan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tahap sara diri negara bagi komoditi beras untuk 2005 berada pada tahap 72 peratus sahaja. Manakala bagi sayur-sayuran, keluaran perikanan, daging lembu dan susu masing-masing berada pada kadar 74, 91, 28 dan lima peratus sahaja.
Ini secara tak langsung menggambarkan betapa tidak terjaminnya kestabilan paras harga makanan penduduk Malaysia selain mereka juga terdedah kepada ancaman kekurangan bekalan kerana masih perlu bergantung kepada import luar.
Di Malaysia, daripada 6.38 juta hektar tanah yang digunakan untuk pertanian negara, hanya 0.452 juta hektar saja yang ditanam padi. Jika dibandingkan dengan tanaman komoditi eksport seperti kelapa sawit dan getah, angka ini sebenarnya sangat kecil kerana keluasan tanaman sawit dan getah negara pada 2005 masing-masing sebanyak 4.1 juta dan 1.25 juta hektar.
Keluasan tanaman padi pada 2005 itu sebenarnya merosot jika dibandingkan dengan keluasannya pada tahun 2000 iaitu 0.478 juta hektar. Dijangkakan menjelang 2010, angka ini akan menurun kepada 0.45 juta hektar.
MengapaTentu timbul pertanyaan di fikiran kita mengapa kita sangat maju dalam bidang pertanian kelapa sawit dan getah tetapi agak ketinggalan dalam soal pertanian makanan terutamanya dalam penghasilan padi?
Hal ini boleh diterjemahkan sebagai suatu kegagalan Dasar Pertanian Negara - walaupun ia bukanlah suatu kegagalan yang menyeluruh - yang mungkin berpunca daripada ketiadaan kesungguhan dan perhatian yang sewajarnya daripada pihak berwajib untuk mencapai apa yang direncanakan melalui dasar yang dibuat.
Di sini pihak pembuat dasar perlu peka dalam menentukan keutamaan sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan.
Walaupun sawit dan getah menjana pendapatan yang banyak untuk negara mahupun kepada para peneroka, kita tidak seharusnya mengabaikan kebajikan sendiri.
Jika kita mampu mengorbankan pelbagai sumber pengeluaran negara seperti kewangan, kepakaran, teknologi dan sebagainya untuk membangunkan ladang sawit dan getah negara dan seterusnya membantu negara pengimport memenuhi keperluan mereka.
Apa salahnya jika kita menggunakan sumber-sumber itu juga untuk membangunkan sektor pertanian makanan bagi mencukupkan keperluan asasi masyarakat setempat.
Penulis bukan bermaksud untuk mengatakan kita perlu mengabaikan tanaman eksport. Tetapi kita perlu meletakkan keutamaan dalam melaksanakan sesuatu itu berdasarkan kepada tingkat yang betul.
Dalam penjelasan mudah faham daruriyyat, hajiyyat dan tahsinat perlu diguna pakai pada setiap ketika. Jika ia dapat dilaksanakan mengikut fahaman ini seterusnya amatlah mudah untuk kita mencapai tujuan dan matlamat perundangan Islam (maqasid as-syariah) iaitu untuk menjaga dan memperkasakan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Thursday, May 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment