Tuesday, October 21, 2008

Tanamkan semangat kesetiaan hadapi krisis

Dalam suasana inflasi sekarang, satusatunya harga barang dan perkhidmatan yang boleh diturunkan oleh kerajaan ialah harga runcit minyak petrol dan diesel. Kerajaan mempunyai kuasa yang sepenuhnya ke atas harga akhir atau harga runcit komoditi itu.

Bagi komoditi kawalan lain, seperti tepung, gula dan beras tempatan, kerajaan hanya berkuasa ke atas harga inputnya tetapi tidak ke atas harga runcitnya. Ini kerana komoditi itu menjadi input kepada komoditi akhir lain.

Contoh, harga tepung dapat dikawal tetapi tidak ke atas harga roti canai. Begitu juga dengan komoditi gula, kerajaan tidak dapat mengawal harga runcit minuman teh tarik walaupun dapat mengawal harga inputnya iaitu gula. Keadaan yang sama juga boleh dipanjangkan kepada harga beras dan harga runcit sepinggan nasi.

Dalam tempoh 131 hari iaitu dari 5 Jun hingga 14 Oktober tahun ini, harga runcit minyak petrol telah dikurangkan sebanyak 40 sen seliter kepada RM2.30 seliter. Bagi harga runcit minyak diesel, ia dikurangkan sebanyak 38 sen seliter kepada RM2.20 seliter.

Pengurangan harga itu meringankan beban kos pengangkutan pengguna, peniaga dan industri.

Berlaku penjimatan atau tabungan sebanyak 40 sen seliter (petrol) atau 38 sen seliter (diesel) jika mereka yang berkenderaan masih mengekalkan unit penggunaan minyak petrol dan diesel. Lebihan tunai itu boleh ditabungkan itu untuk menampan kesan inflasi.

Pada teorinya, pengurangan harga runcit minyak petrol dan diesel itu disertai dengan penurunan harga barang dan perkhidmatan. Seperti mana berlaku apabila harga komoditi minyak itu dinaikkan, harga barang dan perkhidmatan turut dinaikkan kerana kesan rantaiannya.

Ada juga harga komoditi dinaikkan secara melampau oleh peniaga dan industri atas alasan komoditi minyak adalah input penting dalam proses pengeluaran. Dengan pelarasan harga petrol dan diesel yang ketiga, peniaga dan industri masih tidak sensitif dan prihatin. Harga barang dan perkhidmatan lekit turun kerana masing-masing ingin mengaut keuntungan berlebihan daripada kelemahan dan ketidakupayaan pengguna untuk mempengaruhi harga pasaran.

Semangat kesetiaan kepada negara menghadapi krisis perlu ada dalam kalangan peniaga dan industri dalam sektor 'benar' iaitu sektor yang mengeluarkan barang dan perkhidmatan. Mereka turut sama berkorban dengan kerajaan dan pengguna untuk keselamatan ekonomi negara. Mereka wajar menurunkan harga produk masing-masing.

Kesan rantaian yang dibawa oleh pengurangan harga dalam sektor benar akan meningkatkan perbelanjaan domestik. Malah, sejak krisis kewangan negara pada tahun 1997, peranan perbelanjaan domestik semakin penting dan penyumbang kuat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan perbelanjaan domestik akan memperlahankan ekonomi negara terperangkap dalam kemelesetan. Untuk mengharapkan sokongan daripada sektor perdagangan antarabangsa adalah sukar buat masa ini.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang merupakan pasaran eksport utama negara, sedang berdepan dengan krisis kewangan dan kelembapan ekonomi.

Ini berbeza dalam sektor kewangan. Tindakan industri perbankan dan kewangan tempatan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia perlu diteladani. Kadar bunga dikekalkan walaupun berlaku inflasi. Ini boleh dilakukan kerana institusi perbankan dan kewangan kebanyakannya dimiliki oleh kerajaan (GLC) seperti Malayan Banking Berhad, Affin Holdings Berhad, Bumiputera Commerce Holding Berhad dan BIMB Holdings Berhad. Secara tak langsung mempunyai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Lazimnya, kadar bunga dinaikkan apabila berlaku inflasi. Ini meningkatkan kos pinjaman bayaran balik kepada pengguna dan pelabur. Menyedari permasalahan itu dan atas semangat kesetiaan menghadapi krisis, industri perbankan dan kewangan tempatan mengekal kadar bunga dengan matlamat menjaga kebajikan pengguna supaya tidak berlaku krisis pinjaman tidak berbayar dan pada masa yang sama meningkatkan pelaburan domestik.

Polisi pengekalan kadar bunga itu perlu disokong dengan dasar tambatan ringgit. Jika tidak, kadar bunga yang rendah memberi tekanan kepada ringgit untuk turun nilai, lebih-lebih lagi apabila nilai dolar Amerika Syarikat tidak menentu berikutan krisis kewangannya. Dengan nilai ringgit yang lemah, kos import negara semakin mahal dan akan membawa fenomena inflasi yang diimport ke dalam negara.

Ini menokok lagi tekanan hebat ke ekonomi negara yang sedang berdepan dengan inflasi bersifat tolakan kos. Buat masa ini, kerajaan masih mempertahankan dasar apungan ringgit dengan harapan krisis kewangan di Barat dapat dipulihkan segera.

Penyelarasan harga bahan api di Malaysia mengikut trend harga minyak di pasaran dunia perlu dijadikan polisi penentuan harga yang berterusan bagi menetapkan harga runcit petrol dan diesel. Dengan polisi yang sedemikian, masyarakat kini lebih bersedia dengan pengumuman harga bahan api itu membuat penyesuaian corak perbelanjaan mengikut kemampuan masing-masing.

Kerajaan juga kini lebih berhati-hati membuat pengumuman mengenai harga bahan api itu. Pengumuman yang terbaru, kerajaan mungkin dapat menurunkan harga petrol ke paras RM1.92 seliter jika harga minyak di pasaran dunia jatuh di bawah paras AS$72 setong.

Jika harga minyak di pasaran dunia meningkat, pengguna perlu menerima harga semasa bahan api itu. Atas semangat kesetiaan negara dalam menghadapi krisis, peniaga dan industri perlu sama membantu ekonomi negara dengan tidak menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Jika tidak dielakkan, kenaikan harga barang dan perkhidmatan perlu berkadaran dengan kenaikan harga bahan api. Semangat kesetiaan pada negara dalam menghadapi krisis wajar ditanamkan pada setiap pelaku ekonomi dalam negara. Ia boleh juga disifatkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial pengguna dan korporat.

No comments: