KRISIS kewangan global yang melanda masyarakat antarabangsa kini menawarkan harapan baru kepada sistem kewangan Islam untuk menjadi alternatif, kalaupun tidak mengambil alih sistem konvensional yang nyata sentiasa kucar kacir.
Minat mendadak serta mendalam yang ditunjukkan banyak pihak terhadap sistem yang berdasarkan kepada ajaran al-Quran itu berikutan apa yang dilihat sebagai kegagalan sistem sedia ada tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu saja tanpa dieksploitasi sepenuhnya untuk manfaat umat manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.
Inilah masanya yang paling ideal bagi pakar ekonomi Islam, perancang dan mereka yang terbabit dengan industri kewangan menonjolkan kebaikan dan kehebatan sistem yang berteraskan wahyu itu. Bagi mereka yang beragama Islam, usaha ini perlu dilihat bukan saja sebagai kegiatan perniagaan biasa, tetapi sebagai satu jihad.
Seperti yang dijelaskan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, baru-baru ini, kegawatan kewangan semasa membuka peluang kepada sektor kewangan Islam untuk menjadi alternatif yang berdaya maju berbanding kewangan konvensional kerana ia memberi kestabilan kepada pelabur dan pasaran.
Ketika melancarkan buku panduan mengenai sukuk di Kuala Lumpur, Raja Dr Nazrin yang juga Duta Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia bertitah bahawa kekuatan kewangan Islam terletak pada prinsip syariah yang turut menjadi prinsip perniagaan yang baik.
Baginda bersetuju bahawa krisis kewangan sekarang memberi peluang kepada Malaysia mengukuhkan lagi kedudukan sektor kewangan Islamnya. Malangnya, walaupun Malaysia satu-satunya negara di rantau ini yang mempelopori industri kewangan Islam melalui penubuhan bank Islam pertamanya lebih dua dekad lalu, penerimaan masyarakat tempatan terhadap sistem berkenaan masih belum menyeluruh.
Sebab utama mungkin kurang kesedaran terhadap kebaikan sistem itu atau tidak yakin dengan kemampuannya mengendalikan urus niaga moden. Persepsi ini dijangka berubah pada tahun-tahun akan datang, terutama ketika pakar kewangan antarabangsa sedang meraba-raba mencari jawapan muktamad untuk mengatasi krisis semasa yang sudah pun hampir melumpuhkan ekonomi banyak negara di dunia.
Ada beberapa langkah yang boleh diambil segera untuk menempatkan sistem ini pada kedudukan sepatutnya. Antaranya, sudah digariskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2008, kelmarin.
Najib mensasarkan penduduk Islam yang berjumlah lebih satu bilion di seluruh dunia sebagai potensi pasaran industri itu.
Langkah-langkah yang beliau cadangkan untuk mencapai sasaran itu ialah:
l Usaha mendekati dan mendidik masyarakat secara berterusan oleh industri kewangan Islam. Ini penting kerana salah satu penyebab utama yang menghalang pertumbuhan kewangan Islam ialah kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat berhubung alternatif yang ditawarkan dalam perbankan, insurans dan pelaburan.
l Tumpuan terhadap peningkatan modal insan dalam bidang berkenaan. Kekurangan pengetahuan dalam kewangan Islam sering dikaitkan dengan kurangnya pakar berkelayakan. Akibatnya inovasi produk dan perkhidmatan yang diperkenalkan terjejas.
l Mewujudkan kesedaran mengenai kewangan Islam di kalangan peserta pasaran melalui penyelidikan, pendidikan dan latihan.
l Menyesuaikan mekanisme bagi penyelesaian pertikaian dengan peraturan undang-undang dan kaedah Islam. Ini bertujuan mengelakkan sebarang perkara yang boleh membawa kesan tidak elok akibat penghakiman yang janggal dan tidak ketentuan;
l Membangunkan prosedur pengawasan dan pengawalseliaan yang setanding dengan standard antarabangsa. Untuk ini prosedur dan struktur sedia ada mungkin memerlukan pengubahsuaian.
Kalau semua ini dapat dilaksanakan, masyarakat kewangan antarabangsa akan lambat laun lebih yakin terhadap kemampuan sistem Islam dalam menangani masalah semasa. Dalam keadaan sekarang pun, industri kewangan Islam adalah satu-satunya segmen dalam industri perkhidmatan kewangan antarabangsa yang paling pantas berkembang.
Ironisnya, dari segi saiz ia masih terlalu kecil berbanding potensi pasaran yang dikenal pasti. Hakikat ini bukan saja disedari oleh ramai pihak, malah menggusarkan kalangan tertentu yang menganggap struktur kewangan konvensional yang ada sekarang yang berpaksikan kepada sistem ekonomi bebas sebagai terbaik dan mahu mempertahankannya secara mati-matian.
Lihat saja bagaimana ghairahnya Presiden George W Bush menekankan pentingnya mengekalkan ‘dasar-dasar yang menggalakkan pasaran bebas’ semasa persidangan kemuncak G20 di Washington hujung minggu lalu.
Adalah jelas bahawa pemimpin Amerika Syarikat itu bimbang sekiranya desakan untuk merungkai struktur sistem kewangan dunia sekarang akan menjejaskan falsafah di sebalik sistem “free enterprise” yang diamalkan sekarang.
Apa pun, satu perkara yang jelas ialah dunia tidak boleh mengharapkan kemajuan sekelip mata dalam pengstrukturan semula reka bentuk kewangan dunia yang banyak dibincangkan sekarang.
Sekiranya sistem kewangan Islam dapat membuktikan bahawa ia adalah lebih baik dan adil, pengstrukturan semula sistem konvensional yang sedia ada mungkin tidak diperlukan lagi.
Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
Wednesday, November 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment