PASARAN saham dunia terjejas teruk ekoran krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat sekarang
Washington tiru pakej rangsangan kewangan pernah diguna KL bantu syarikat bermasalah
TINDAKAN kerajaan menerusi Majlis Ekonomi (EC) yang bersetuju melaksanakan beberapa langkah bagi terus memastikan pertumbuhan dan pembangunan negara berjalan lancar, adalah seiring dengan hasrat mencapai negara taraf maju menjelang 2020. Ia dilihat memberi isyarat penting kepada usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara ketika dunia dan juga kuasa ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) kini berdepan kelembapan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran kewangan global.
Malaysia dalam menghadapi kitaran ekonomi 'gawat' dan lembab ini, mungkin dilihat bersedia menghadapi apa saja rintangan berasaskan kepada pengamalan serta keupayaan mengendalikan krisis seumpamanya pada beberapa siri kegawatan ekonomi pada 1980-an dan terakhir pada 1997/98 hingga negara berjaya seolah menyediakan model kepada teknik merawat kegawatan ekonomi yang melanda ketika itu.
Rawatan ekonomi yang diaplikasikan Malaysia terbukti mujarab hinggakan ia mendapat pengiktirafan meluas dunia antarabangsa, walaupun pada awalnya kaedah dilakukan Malaysia seperti melakukan 'tambatan' ringgit kepada dolar AS dan kawalan modal, dilihat konservatif dan tidak sealiran dengan pandangan beberapa tokoh ekonomi antarabangsa.
Washington dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dilihat melontarkan pelbagai tohmahan dan meragui keupayaan negara ketika itu untuk menyelamatkan ekonomi negara daripada menjunam teruk. Namun, apa yang pasti, setiap kritikan itu terjawab, dan Malaysia kembali bangkit serta berjaya meminimumkan impak, menyelamatkan negara terjebak krisis yang mudarat seperti berlaku di Indonesia. Usaha yang diterajui kepemimpinan Datuk Seri Abdullah dan Menteri Kewangan baru, Datuk Seri Najib Razak memberi fokus kepada pengenalpastian sektor pertumbuhan ekonomi bagi diperkemas dan diperkembangkan untuk membolehkan 'prospek besar' dijana bagi memperkukuh daya saing negara.
Perhatian dan promosi serta usaha melindungi semua sektor teras bagi menjamin daya tahan Malaysia serta meliberalisasikan sektor perkhidmatan yang menyumbangkan 45 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara juga dilihat bersesuaian dan bersifat strategik. Peranan dimainkan tiga institusi teras pelaburan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan juga Pemodalan Nasional Berhad (PNB) tidak harus dikesampingkan.
Dengan modal besar dipunyai ketiga-tiga institusi ini, kerajaan mampu menjana dana yang luas bagi digunakan sebagai mekanisme sumber kewangan untuk mempertahankan keupayaan pembangunan negara. Jangan jadikan situasi kemelesetan ekonomi antarabangsa yang disebabkan oleh kemerosotan AS sebagai penyebab kepada terhalangnya pembangunan negara untuk masa depan.
Projek sedia ada harus diteruskan serta jika wujud lebih kepelbagaian dalam pembangunan di pelbagai sektor, maka lebih wang akan bergerak di pasaran domestik. Kini, peranan kerajaan dan institusi kewangan amat penting, bukan mengurangkan kitaran wang, sebaliknya memperbanyak dan mempelbagaikan perbelanjaan sebagai suntikan kepada peluang pekerjaan negara.
Kenyataan Abdullah ketika mengumumkan hasil mesyuarat EC yang menyatakan bahawa amat penting untuk negara mempromosi sektor pertumbuhan baru dan melindungi sektor teras daripada sebarang ancaman, dilihat sebagai pernyataan yang memberikan kelegaan kepada pasaran tempatan.
Strategi dan usaha untuk memperbanyakkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan sektor swasta di Asia Barat, China, Korea, Jepun dan India untuk menarik pelaburan ke Malaysia dilihat bersesuaian.
Negara Teluk di Asia Barat yang kini dilihat memiliki 'lambakan' dana hasil perolehan jualan minyak mereka, dapat disalurkan ke negara ini menerusi pelaburan di pelbagai sektor.
Negara tidak harus hanya bergantung kepada pasaran dan modal dari Eropah dan AS untuk memacu perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara, tetapi dengan polisi Pandang ke Timur dan Arab ini, dilihat akan memberikan kepelbagaian suntikan pelaburan kepada negara. Mujurlah selama ini dalam hal perdagangan antarabangsa, Malaysia lebih bersikap terbuka dan mementingkan aliran pelbagai hala berbanding sehala semata-mata.
Ini juga adalah strategi Malaysia yang penting iaitu tidak bergantung kepada mana-mana pasaran secara keterlaluan.
Namun, dalam situasi politik semasa, pembangkang juga perlu memainkan peranan penting untuk tidak lagi memainkan berita sensasi yang jauh daripada kebenaran hinggakan ia seolah 'menakutkan' pelabur asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.
Imej positif Malaysia pada kaca mata antarabangsa harus dikembalikan dan jika ini dapat dijana, maka ia akan memudahkan usaha Malaysia untuk tidak terjebak dalam kancah seperti dialami AS masa kini.
AS yang kini terjebak dengan krisis kewangan selepas 11 tahun lalu negara Asia seperti Indonesia, Thailand, Korea dan juga Malaysia menjadi 'destinasi kegawatan ekonomi' yang berpunca daripada kegiatan spekulatif di pasaran mata wang antarabangsa, kini rasai bagaimana peritnya negara yang 11 tahun dulu dicengkam dengan keperitan untuk menyelamatkan ekonomi daripada terus jatuh.
Kini AS adalah pendokong sistem kapitalis terbesar dunia dengan kapasiti KDNK AS$14 trilion dilihat menjadi dalang yang menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam membantu syarikat yang bermasalah. Kecuali Malaysia, lain-lain negara yang menerima pakej IMF bertindak untuk tidak menyelamatkan mana-mana syarikat berkepentingan nasional dengan andaian bahawa segala-galanya akan ditentukan oleh pasaran.
Hipotesisnya mudah, pakej IMF yang diselia dan dicatur AS memperlihatkan bahawa sesuatu ekonomi perlu dibiarkan tanpa campur tangan kerajaan walaupun ekonomi terbabit jatuh merudum, maka ia tidak boleh dihalang. Itulah dogma dan doktrin ekonomi Washington. Namun, kini sebaliknya berlaku, dan AS mengguna pakai pakej rangsangan ekonomi yang 11 tahun dulu dipraktikkan Malaysia.
Secara signifikannya, ini menunjukkan bahawa AS tidak terlepas daripada gugatan ekonomi dan juga menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Malaysia di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu dan kini diteruskan oleh Abdullah adalah bertepatan dengan kehendak bahawa 'kedaulatan ekonomi' negara perlukan 'penjagaan rapi' oleh kerajaan.
No comments:
Post a Comment