Thursday, June 5, 2008

5 Mei 2008 : Kaedah Robin Hood ringankan beban

Kerajaan patut naikkan cukai korporat bagi tampung subsidi untuk rakyatTABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan harga petrol mungkin meningkat sehingga AS$200 setong, manakala kenaikan harga barang makanan secara purata sebanyak 4.9 peratus pada Mac lalu menjadikan inflasi naik kepada 2.8 peratus berbanding pada kadar 2.3 peratus pada Januari lalu. Jadi apa pilihan kita untuk mengatasi kenaikan harga barang yang membebankan rakyat? Adakah menaikkan gaji satu langkah paling berkesan untuk mengatasi masalah ini dan bagaimana pula jika kenaikan gaji akan memburukkan inflasi?

Adakah penguatkuasaan ketat dan kawalan harga dapat mengekang semua ini? Pengalaman sudah membuktikan bahawa kawalan dan penguatkuasaan akan berakhir dengan ungkapan 'kenaikan harga tidak dapat dielakkan.' Bagaimana jika pada saat-saat seperti ini kita menggunakan kaedah Robin Hood? Robin Hood merompak daripada golongan bangsawan yang kaya dan memberikannya kepada golongan miskin. Tetapi kita bukanlah ingin merompak atau apa-apa cara yang bercanggah dengan etika dan undang-undang. Apa yang kita harapkan pada saat yang gawat ini, golongan kaya juga bertimbang rasa dan sama-sama merasai kesusahan dihadapi golongan berpendapatan rendah.

Kenaikan harga barang pada golongan berada mungkin bermaksud mereka tidak boleh bermewah sangat seperti dulu. Mungkin dulu mereka bercuti ke Paris, tetapi kini cukup jika melancong di dalam negeri. Kenaikan harga barang kepada golongan berpendapatan rendah pula mungkin bermaksud kurangkan makan, tiada lagi baju baru sehingga ada yang mencadangkan supaya kita hanya makan segenggam beras sehari. Itu belum lagi untuk berdepan yuran sekolah dan buku setiap awal tahun persekolahan. Semua ini memeningkan kepala. Kerana itu penulis mencadangkan supaya kerajaan menggunakan teori 'Robin Hood' dalam menangani krisis ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran, Berkhatan dan Bertindik di Sekolah Kebangsaan Seri Maulana, Pekan, baru-baru ini berkata, apabila harga minyak naik begitu tinggi, kerajaan tidak ada pilihan melainkan melihat kepada skim subsidi untuk dikaji semula supaya beban tanggungan dapat dikurangkan.

Pada saat-saat seperti ini, memang peranan subsidi sangat penting terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Najib pada majlis yang sama memberi jaminan bahawa pada prinsipnya golongan berpendapatan rendah akan terus mendapat subsidi pada tahap munasabah, manakala yang berpendapatan tinggi atau menggunakan banyak bahan api akan terpaksa membayar pada harga lebih tinggi.

Sungguh pun begitu kerajaan sudah pasti menanggung beban kewangan yang besar dalam hal ini. Bagi menampung peruntukan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah, kerajaan mungkin boleh menaikkan cukai korporat. Pada masa ini cukai korporat ialah sebanyak 26 peratus daripada keuntungan syarikat. Dengan menaikkan cukai korporat, kerajaan boleh menggunakan dana itu sebagai subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.

Pada waktu ini mungkin sesetengah perniagaan juga menghadapi masalah kewangan, tetapi masalah yang mereka hadapi mungkin hanya berkisar kepada keuntungan yang semakin berkurangan. Sungguh pun begitu sebenarnya banyak juga syarikat yang meraih 'durian runtuh' daripada kenaikan harga barang yang berlaku sekarang. Jadi rasanya adil untuk menaikkan cukai korporat pada saat-saat seperti ini.

Selain cukai korporat, kerajaan juga boleh menaikkan cukai pendapatan individu bagi mereka yang berpendapatan tinggi, contohnya mereka yang memperoleh pendapatan melebihi RM120,000 setahun. Golongan berpendapatan tinggi seperti ini biasanya melepasi tahap kemampuan untuk memenuhi keperluan asas untuk hidup.

Tetapi golongan berpendapatan rendah terpaksa melalui saat-saat sukar untuk memenuhi keperluan asas untuk hidup. Menaikkan cukai syarikat dan individu yang berpendapatan tinggi ini bersesuaian dengan kaedah 'Robin Hood' iaitu mengambil daripada golongan kaya untuk diberikan kepada golongan miskin.

Menaikkan gaji atau menetapkan gaji minimum semata-mata seperti dituntut oleh MTUC akan menjurus kepada pertambahan kos kepada perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang. Peranan subsidi sangat penting kerana ia boleh mengelakkan kenaikan harga barang dan terus kepada kumpulan sasar iaitu mereka yang kurang berkemampuan. Dalam keadaan krisis ekonomi dengan kenaikan harga melampau ini, yang paling terkesan ialah golongan berpendapatan rendah. Kerana itu mengimbangkan pendapatan antara golongan miskin dan kaya sangat perlu. Pada masa ini peranan subsidi sangat penting kerana ia terus kepada golongan sasaran.

Dengan pertambahan dalam pendapatan melalui kenaikan cukai kepada golongan berada dan korporat, kerajaan boleh menggunakan dana itu untuk memberikan bantuan terus kepada golongan kurang berkemampuan. Bagi membantu golongan berpendapatan rendah, kerajaan disarankan menaikkan kadar biasiswa kecil persekutuan (BKP) yang diberi kepada pelajar seluruh negara. Selain itu bilangan pelajar yang mendapat biasiswa ini juga perlu ditambah lebih ramai lagi meliputi semua yang layak untuk menerima biasiswa ini. Dengan itu, ia dapat meringankan beban ditanggung oleh ibu bapa terutama mereka yang mempunyai ramai anak. Memang dalam situasi inflasi, pakar ekonomi berpendapat supaya jumlah wang yang mengalir dan ada di tangan orang ramai perlu dikurangkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerana perbelanjaan yang bertambah akan memburukkan lagi inflasi. Sekiranya edaran wang berkurangan dan permintaan pun berkurangan, mekanisme pasaran akan menyebabkan harga turun.

Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, kenaikan harga ialah membabitkan barang keperluan harian yang kita tidak dapat elak melainkan terpaksa membeli juga. Melalui pertambahan hasil daripada kenaikan cukai korporat dan individu berpendapatan tinggi, kerajaan boleh menggunakannya sebagai dana untuk subsidi kepada golongan berpendapatan rendah yang terhimpit kerana kenaikan harga umum kebanyakan barang keperluan. Mungkin ia sesuai dengan ungkapan 'susah senang kita bersama'. Ia dapat mengimbangkan keadaan inflasi kerana ia menaikkan kemampuan golongan bawahan dan mengurangkan perbelanjaan golongan berada. Dengan cara itu dapat mengelakkan berlakunya inflasi yang melampau tetapi pada masa sama, tidak ada rakyat yang menderita.

Penulis ialah Pensyarah dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan (INFUS) Kolej Profesional Mara Melaka.

No comments: