Sunday, September 28, 2008

Pasaran bebas AS runtuh?

SEJAK 2005 ekonomi Amerika Syarikat (AS) goyah ekoran pelbagai masalah terutama krisis subprima membabitkan pinjaman perumahan.

Krisis berpunca daripada kegagalan menguruskan pinjaman perumahan oleh institusi kewangan negara itu hingga menjejaskan kecairan dalam pasaran kredit dan sistem perbankan. Ia bermula apabila pinjaman untuk sektor hartanah terutama perumahan berada dalam keadaan tidak terkawal dengan institusi kewangan bermain dengan risiko memberikan pelbagai insentif.

Ia menyebabkan pembeli merasakan mereka mampu memiliki hartanah melalui terma mudah yang disediakan dengan harapan apabila harga meningkat mereka akan melakukan pembiayaan semula pada kadar yang mampu selepas terma asal itu tamat.

Malangnya harga rumah di AS mula menurun pada 2006-2007. Apabila terma awal tamat, harga rumah tidak naik seperti yang diharapkan. Sebaliknya pembeli terpaksa berhadapan dengan kenaikan kadar faedah selepas insentif jangka pendek tamat. Akibatnya jumlah rumah yang dirampas oleh bank meningkat dengan mendadak.

Pada lewat 2006 krisis subprima di AS telah menyumbang kepada krisis kewangan dunia yang mana ia melarat ke tahun 2007 dan 2008. Sepanjang tahun 2007 hampir 1.3 juta hartanah di AS dirampas oleh bank iaitu meningkat 79 peratus berbanding 2006.

Apabila sejumlah besar peminjam gagal membayar balik pinjaman, institusi pemberi kredit di negara itu mula terancam. Bank dan institusi kewangan mula mencatatkan kerugian kerana pembiayaan perumahan mereka tidak memberikan pulangan. Hampir semua institusi kewangan di negara itu berhadapan dengan masalah kecairan kredit dan beban hutang yang besar.

Selain gagal mendapatkan semula pinjaman yang diberikan mereka juga tidak mampu memberi pinjaman baru hingga menyebabkan pasaran kredit AS beku. Kesan daripada krisis itu, pada hujung 2007 bank terbesar AS, Citibank telah mengalami kerugian AS$11 bilion hingga memaksa ia mendapatkan bantuan daripada firma pelaburan Abu Dhabi untuk menyuntik modal sebanyak AS$7.8 bilion.

Masalah itu tidak berhenti di situ saja. Ia berterusan pada tahun 2008 hingga mengheret institusi kewangan terkemuka negara itu ke kancah kebankrapan.

Pasaran bebas yang diagung-agungkan oleh AS telah memerangkap sistem kewangannya dan hampir melumpuhkan ekonominya secara keseluruhan. Satu demi satu institusi kewangannya rebah akibat krisis itu yang dianggap sebagai tsunami kewangan ekoran kelemahan pada sistem kapitalis barat.

Tidak siapa akan menyangka firma sekuriti keempat terbesar di AS, Lehman Brothers yang berusia lebih 160 tahun terpaksa diisytiharkan muflis ekoran krisis subprima yang tiada penghujungnya itu. Tidak cukup dengan itu firma kewangan dan pembrokeran, Merrill Lych pula terpaksa menjual segala asetnya kepada Bank of Amerika bagi mengelak ditimpa nasib yang sama.

Berjangkit

Krisis itu turut berjangkit kepada syarikat penanggung insurans terbesar AS, American Insurans Group Inc. (AIG) yang berhadapan dengan masalah kewangan serius hingga memaksa ia diselamatkan oleh kerajaan melalui pakej bernilai AS$85 bilion. Sebelum itu kerajaan AS turut mengambil alih firma pembiaya pinjaman hartanah terbesarnya, Fannie Mae dan Freddie Mac yang berhadapan dengan beban kewangan.

Krisis ini menjadikan kerajaan AS resah kerana ia merupakan antara yang terburuk dalam sejarah negara itu.

Jika berdasarkan kepada sistem pasaran bebas yang diamalkan AS, syarikat-syarikat tersebut biar sebesar mana pun mereka dan walaupun usianya mencecah ratusan tahun perlu dibiarkan bankrap. Kerajaan tidak boleh masuk campur tangan kerana ia bertentangan dengan amalan pasaran.

Itulah tekanan yang diberikan oleh AS kepada negara-negara Asia terutama Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia ketika krisis kewangan 1997-1998. Kerajaan negara-negara terbabit tidak dibenarkan menyelamat atau 'bailout' syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan nasional. Atas alasan pasaran bebas dan globalisasi, AS memaksa negara-negara tersebut membuka ruang supaya institusi yang bermasalah itu diambil alih oleh syarikat-syarikat luar.

Malaysia merupakan antara negara yang dikritik hebat oleh AS kerana kerajaan telah campur tangan dan menyelamatkan syarikat-syarikat yang ada kepentingan nasional supaya ia tidak terlepas kepada kapitalis barat.

Kini AS berhadapan dengan masalah yang sama seperti yang dihadapi oleh negara-negara Asia kira-kira 11 tahun lalu. Dunia kini memerhatikan langkah dan tindakan yang akan diambil oleh kuasa besar itu demi mengekalkan dominasinya dalam sistem kewangan dunia. Dalam keadaan kritikal sekarang, ketika sistem kewangannya hampir lumpuh, apa pilihan yang ada pada AS untuk memastikan institusi kewangannya tidak bankrap satu demi satu.

Salah satu cara ialah membebaskan institusi terbabit daripada beban hutang ekoran krisis subprima dengan kerajaan menanggung segala hutang dan pinjaman yang tidak berbayar tersebut.

Dalam kata lain, akaun syarikat terbabit perlu dibersihkan daripada hutang supaya mereka ada cukup kecairan untuk memberi semula pinjaman. Untuk itu kerajaan pimpinan Presiden George W. Bush memerlukan AS$700 bilion untuk dijadikan rakit bagi menyelamatkan atau 'bailout'. Ia pendekatan yang ditentang oleh AS ketika krisis kewangan Asia 1997-1998.

Kini Bush tanpa segan bertindak berlawanan dengan pasaran bebas dengan mendesak Kongres meluluskan peruntukan AS$700 bilion itu atau katanya, ekonomi AS akan lingkup.

Langkah pentadbiran Bush itu bukan sesuatu yang diinginkan oleh rakyatnya.

Walaupun Bush mengatakan ia demi memastikan rakyat terus memiliki kediaman dan demi memulihkan kembali ekonomi, namun sebahagian besar rakyat AS menentang usaha menyelamat besar-besaran yang mereka anggap sebagai 'mother of all bailouts'.

Bagi rakyat AS, syarikat-syarikat terbabit perlu dibiarkan bankrap dan bukannya diselamatkan menggunakan wang rakyat kerana itulah prinsip pasaran bebas.

Amaran

Lagi pula masalah tersebut berpunca daripada ketamakan institusi kewangan negara itu dan kegagalan para pentadbir dan pengurus untuk menguruskan sistem yang ada dengan baik. Ia termasuk membayar gaji keterlaluan kepada para eksekutif institusi kewangan terbabit. Mereka bimbang wang sebesar itu digunakan untuk menyelamatkan eksekutif berkenaan dan bukannya institusi serta rakyat secara keseluruhan.

Pada tahun 2005, pakar ekonomi telah memberi amaran tentang bahaya pasaran hartanah AS yang terlalu melambung kerana ia boleh jatuh pada bila-bila masa. Tetapi tidak ada dilakukan oleh kerajaan.

Oleh itu bagi rakyat AS, jika kerajaan mahu menyelamatkan syarikat-syarikat terbabit, sistem yang ada terlebih terlebih dahulu perlu dibetulkan. Ini kerana pasaran yang terlalu bebas tanpa sebarang kawalan terbukti membawa kepada kehancuran.

Rakyat AS mahukan supaya aktiviti ekonomi diselia melalui peraturan tertentu. Jika tidak sudah pasti krisis subprima itu akan berulang ekoran kawalan terhadap aktiviti ekonomi yang lemah. Pada mereka untuk penyelesaian jangka panjang, ideologi pasaran bebas perlu diketepikan, kemudian barulah AS$700 bilion itu diluluskan. Ini kerana ideologi itu terbukti lebih banyak membawa kemusnahan.

Jika AS$700 bilion itu diluluskan jumlah keseluruhan usaha AS menyelamatkan syarikatnya yang bankrup ialah AS$1 trilion yang mana ia akan menyebabkan negara kuasa besar itu menanggung beban hutang yang besar iaitu mencecah lebih AS$11 trilion.

Angka itu jika diterjemahkan dalam konteks negara membangun maka negara tersebut sudah bankrap.
Dalam konteks AS ia bukan sahaja sekadar bankrap, tetapi juga menyaksikan keruntuhan sistem pasaran bebas yang diagung-agungkannya.

Pentadbiran Bush secara total menolak mekanisme pasaran bebas apabila mengambil keputusan menyelamatkan syarikat-syarikatnya daripada terlungkup ekoran urus tadbir korporatnya yang lemah dan tidak telah telus.
Jika Bush sedar, itulah langkah yang diambil oleh negara Asia terutama Malaysia ketika berhadapan dengan krisis ekonomi 1997-1998.

Penyelesaian yang dianggap primitif dan bertentangan dengan konsep pasaran bebas tetapi berkesan. Nampaknya pada masa ini AS tidak ada pilihan lain. Penyelesaian 'primitif' negara dunia ketiga yang dikritik 11 tahun lalu terpaksa digunakan. Jika tidak ekonominya akan merudum ditelan pasaran bebas.

No comments: