Wednesday, September 24, 2008

IHP Ogos naik 0.2 peratus berbanding Julai

Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Januari hingga Ogos mengembang 4.8 peratus kepada 110.4 daripada 105.3 yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, kata Jabatan Perangkaan, hari ini. IHP Ogos meningkat 0.2 peratus kepada 114.9 daripada 114.7 pada Julai tahun ini dan indeks itu meningkat 8.5 peratus berbanding dengan 105.9 pada Ogos tahun lalu. Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu yang memperincikan IHP bagi Ogos, berkata peningkatan 4.8 peratus IHP itu dicatat berikutan kenaikan indeks semua indeks kumpulan utama kecuali pakaian & kasut dan komunikasi.

Kenaikan utama antara kumpulan utama ialah pengangkutan (+8.6 peratus); makanan & minuman bukan alkohol (+7.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik dan bahan api lain (+1.4 peratus). Tiga kumpulan utama itu secara bersama mencatatkan kenaikan keseluruhan 84.6 peratus yang dicatatkan bagi tempoh yang dikaji. Sementara itu, indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol bagi Ogos 2008 berbanding dengan bulan yang sama pada 2007 menunjukkan kenaikan tinggi 11.7 peratus manakala indeks bukan makanan meningkat tujuh peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, indeks makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan kenaikan masing-masing 7.5 peratus dan 3.6 peratus, kata jabatan itu. Katanya kenaikan 7.5 peratus indeks makanan & minuman bukan alkohol adalah hasil kenaikan indeks makanan di rumah (+8.2 peratus); makanan di luar rumah (+6.4 peratus) dan kopi, teh, koko & minuman bukan alkohol (+6.2 peratus). Antara subkumpulan makanan di rumah yang menunjukkan kenaikan dalam tempoh itu ialah beras, roti dan bijirin lain (+15 peratus); susu, keju & telur (+13 peratus); daging (+7.9 peratus); ikan & makanan laut (+5.6 peratus) dan sayur-sayuran (+5.4 peratus). Jabatan itu berkata kenaikan 0.2 peratus berbanding dengan bulan sebelum itu disebabkan kenaikan kumpulan utama terpilih iaitu makanan & minuman bukan alkohol (+0.8 peratus); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (+0.5 peratus); restoran & hotel (+0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+0.3 peratus); kesihatan dan pendidikan (masing-masing +0.2 peratus) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (+0.1 peratus).

Sementara itu, penurunan ditunjukkan pada indeks pengangkutan (-0.7 peratus); pakaian & kasut (-0.4 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (-0.2 peratus). Indeks minuman beralkohol & tembakau dan komunikasi kekal tidak berubah masing-masing pada 120.6 dan 96.7. Kenaikan indeks makanan & minuman bukan alkohol pada bulan Ogos berbanding Julai ialah daun sup (+6.4 peratus); ayam (+5.9 peratus); peria (+5 peratus); brokoli (+3.7 peratus); kubis bulat (+3.3 peratus); telur ayam (+2.9 peratus); ikan kembung (+2.9 peratus) dan sotong (+2.8 peratus). Sementara itu, indeks sesetengah makanan menunjukkan penurunan pada Ogos 2008 berbanding dengan bulan sebelumnya. Antaranya rambutan (-6.7 peratus); timun (-6 peratus); bayam (-5.8 peratus); sawi (-4.8 peratus) dan kangkung (-4.3 peratus). Pengkelasan semula barangan mengikut ketahanan dan perkhidmatan menunjukkan kenaikan 0.5 peratus pada indeks perkhidmatan. Indeks barang separa tahan lama dan barangan tahan lama masing-masing menunjukkan penurunan 0.3 dan 0.2 peratus manakala indeks barangan tidak tahan lama kekal tidak berubah pada 126.5.

- Bernama

No comments: