Monday, March 3, 2008

Kenaikan harga minyak, sawit manfaatkan ekonomi

EKONOMI Malaysia tidak hanya terus kukuh di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, malah ia mendapat manfaat daripada peningkatan tinggi harga komoditi utama seperti minyak mentah dan minyak kelapa sawit.

Justeru, ekonomi negara dijangka akan terus mempamerkan prestasi mantap walaupun ekonomi Amerika Syarikat dijangka mengalami kemelesetan.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Asset Management Bhd., Datuk Noripah Kamso berkata, ekonomi Malaysia memiliki asas-asas yang kukuh dengan sebahagian besar pertumbuhan dipacu oleh penggunaan domestik dan pelaburan, khususnya dalam sektor-sektor seperti minyak dan gas, perladangan dan pembinaan.

"Pencetus pertumbuhan domestik ketika ini adalah pelancaran lima koridor pembangunan terutamanya Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang telah berjaya menarik sejumlah RM8.1 bilion pelaburan," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Dana Tema Ekuiti Islam DALI CIMB di sini, hari ini.

Menurut beliau, sektor-sektor seperti minyak dan gas, perladangan serta pembinaan dijangka bakal mendapat faedah besar walaupun keadaan ekonomi global pada umumnya dijangka berkembang dengan perlahan pada tahun ini.

"Pelaburan dalam syarikat-syarikat berkaitan minyak dan gas dijangka mampu menjana pulangan yang baik ekoran kenaikan harga minyak global yang melepasi AS$100 (RM320) setong.

"Lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi akan merangsang sektor perladangan, sementara prospek perkembangan sektor pembinaan dijangka cerah dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)," tambahnya.

Menurut beliau, Malaysia boleh dianggap sebagai antara destinasi pelaburan yang selamat dan tempat berlindung daripada kesan kegawatan ekonomi global yang tercetus akibat krisis subprima di Amerika Syarikat (AS).

"Keyakinan persekitaran pelaburan dan ekonomi jelas digambarkan apabila Malaysia menduduki tempat ke-14 dalam senarai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) paling menarik di peringkat global dalam Laporan Kajiselidik Prospek Pelaburan Dunia bagi 2007-2009.

Ketua Pegawai Pelaburan CIMB-Principal, Raymond Tang berkata, harga minyak global dijangka kekal tinggi ekoran permintaan yang kukuh dan bekalan yang tidak menentu.

"Malaysia yang memiliki medan-medan minyak laut dalam baru, bakal menyaksikan
peningkatan aktiviti penerokaan dan perlombongan yang akan menyumbang kepada kekukuhan ekonomi.

"Syarikat-syarikat berkaitan minyak dan gas Malaysia dijangka menerima lebih banyak kontrak menerusi inisiatif-inisiatif kerajaan untuk membangunkan sektor ini seperti di ECER," katanya.
Tang berkata, harga MSM yang tinggi tidak akan menjejaskan eksportnya kerana harga komoditi lain seperti minyak kacang soya dan bijirin juga tinggi.

"Paras harga MSM ketika ini bukan sesuatu yang membimbangkan kerana MSM adalah bahan pengganti kepada soya dan bijirin.

"Kekurangan bekalan soya dan bijirin akan menyokong kenaikan harga MSM," katanya.
Ekonomi negara dijangka terus kukuh apabila sektor pembinaan kini sedang bersedia untuk melonjak dengan jangkaan pertumbuhan sebanyak 6 peratus pada tahun ini berbanding 4.8 peratus pada tahun lalu.

"Peningkatan dalam sektor ini disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur RMK-9 dan pembangunan berterusan dalam sektor rumah kediaman dan komersial.

"Berdasarkan kesan penggandaan sektor pembinaan sebanyak 2.2 kali, perkembangan dalam sektor ini akan merangsang permintaan bagi barangan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan seperti pengangkutan, kuari, peruncitan dan barangan logam," katanya.

Di samping itu, tambahnya, kadar faedah negara pula dijangka kekal stabil pada 3.5 peratus tahun ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan perniagaan.

No comments: