Wednesday, March 19, 2008

IHP Februari 2008 naik 2.5 peratus

19 Mac – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Februari 2008 meningkat 2.5 peratus kepada 107.7 peratus berbanding 105.1 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Jabatan Perangkaan berkata peningkatan itu disebabkan oleh peningkatan indeks kesemua kumpulan utama kecuali pakaian dan kasut serta komunikasi yang masing-masing merosot 0.6 peratus dan 0.7 peratus.

Kenaikan yang nyata dicatatkan dalam indeks makanan dan minuman bukan alkohol (4.2 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.4 peratus) dan pengangkutan (1.0 peratus).

Berbanding dengan bulan Januari, jabatan itu menyatakan IHP Februari 2008 meningkat 0.4 peratus, berikutan kenaikan kesemua kumpulan utama.

Peningkatan itu dicatatkan dalam indeks pendidikan (0.8 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.6 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, dan restoran dan hotel (0.5 peratus setiap satu), pakaian dan kasut (0.4 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.2 peratus), dan kesihatan (0.1 peratus).

Jabatan itu berkata, pengkelasan semula barang mengikut ketahanan dan perkhidmatan menunjukkan kenaikan 0.4 peratus bagi indeks barang tahan lama, barangan tidak tahan lama dan perkhidmatan manakala indeks barang separuh tahan lama naik 0.3 peratus.

– Bernama

No comments: