KESAN krisis bahan makanan ruji di peringkat global mula dirasakan di negara ini apabila harga barangan keperluan seperti beras dan tepung naik mendadak.
Biarpun bekalan bahan makanan utama masih mudah diperoleh baik di kedai-kedai runcit mahupun di pasar raya besar, namun harga yang tinggi sedikit sebanyak mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat.
Tidak mustahil bermula dengan kenaikan harga, sebulan dua lagi rakyat akan berhadapan pula dengan masalah kekurangan bekalan bahan makanan.
Ia boleh terjadi bukan disebabkan bekalan habis sebaliknya tindakan peniaga dan pemborong menyorokkan barangan keperluan sementara menunggu peluang harga dinaikkan.
Begitu juga dengan kegiatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyeludup bekalan bahan makanan utama seperti beras ke negara jiran.
Kesemua keadaan itu boleh berlaku kerana negara masih bergantung kepada negara lain untuk membekalkan bahan makanan utama.
Sedangkan harga bahan tersebut di pasaran antarabangsa semakin meningkat dan kita tidak ada pilihan selain terpaksa membeli dengan harga yang tinggi.
Langkah kerajaan mengumumkan peruntukan segera RM4 bilion bagi menjamin bekalan makanan mencukupi untuk rakyat selari dengan usaha untuk memenuhi keperluan makanan sendiri sebanyak 100 peratus.
Sudah tiba masanya kerajaan dan rakyat bersungguh-sungguh menyegerakan usaha tersebut bagi mengelak kita terjebak secara keterlaluan dalam krisis seumpama itu.
Usaha kerajaan menyediakan peruntukan sebesar itu mesti disahut oleh rakyat dengan cara melibatkan diri secara serius dalam bidang pertanian.
Tidak ada gunanya kawasan baru pertanian dibuka tetapi penyertaan penduduk setempat untuk mengusahakan tanah tersebut tidak memberangsangkan.
Atau jika pun ada yang berminat tetapi tiada kesungguhan untuk mengusahakannya menyebabkan projek-projek yang diharapkan terbengkalai.
Begitu juga dengan pemberian subsidi bagi pengeluaran makanan mesti dimanfaatkan sepenuhnya supaya negara dapat memenuhi keperluan makanan sendiri.
Penggantungan kepada bekalan bahan makanan dari negara lain menyebabkan kita terpaksa menerima apa sahaja harga yang ditetapkan bagi mengelak rakyat kebuluran.
Namun langkah seumpama itu juga tidak akan bertahan lama kerana apabila harga terpaksa dinaikkan, rakyat tidak berupaya untuk membelinya.
Oleh itu setiap peluang serta sokongan kerajaan ke arah meningkatkan pengeluaran bahan makanan sendiri mesti disahut oleh rakyat.
Peruntukan RM4 bilion itu amat besar jumlahnya dan kegagalan memanfaatkan kemudahan tersebut akan merugikan negara dan rakyat sendiri.
STOK PENIMPAL TANGANI KRISIS BEKALAN MAKANAN
Dalam perkembangan semasa, negara berdepan dengan krisis harga dan bekalan dalam industri padi dan beras.
Selain penubuhan Majlis Harga Negara, kerajaan menerusi Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi pada dasarnya telah bersetuju mewujudkan stok penimbal beras bagi menangani krisis bekalan beras.
Dari segi produk makanan, tahap sara diri komoditi makanan yang tidak mencukupi pada hari ini ialah beras (72 peratus), sayur-sayuran (74 peratus), perikanan (91 peratus), daging lembu (23 peratus), daging kambing (8 peratus), dan susu (5 peratus).
Bekalan yang tidak mencukupi itu akan diimport. Pada tahun 2005, import beras adalah hampir RM700 juta, susu dan krim (RM1.1 bilion), gandum (RM1.1 bilion), jagung (RM1.4 bilion), dan gula daripada bit (RM1.1 bilion).
Ringkasnya negara adalah pengimport bersih makanan. Jika berlaku krisis dalam negara pembekal, sudah pasti boleh mengakibatkan krisis inflasi dan bekalan barang makanan.
Tahap komoditi makanan yang melebihi daripada mencukupi ialah buah-buahan (117 peratus), daging ayam itik (121 peratus), telur (113 peratus) dan daging khinzir (107 peratus).
Skim stok penimbal makanan ialah istilah ekonomi yang menjadi penampan kepada jurang permintaan dan bekalan komoditi makanan.
Skim itu juga dapat menstabilkan harga komoditi makanan di pasaran. Jika berlaku kekurangan bekalan di pasaran, kerajaan akan mengeluarkan simpanan bekalan itu dan menjualnya untuk menstabilkan harga barang itu.
Apabila berlaku lebihan pengeluaran, kerajaan akan membeli komoditi itu dan disimpan untuk memenuhi permintaan masa depan.
Krisis timbul apabila tidak ada bekalan yang mencukupi untuk menampung lebihan permintaan di pasaran. Ini yang berlaku sekarang ini kerana tahap import ke atas komoditi makanan adalah tinggi dan dicerminkan pula oleh ketidakcukupan tahap sara diri.
Idea stok penimbal makanan sebenar telah wujud pada zaman Nabi Yusof (a.s) berikutan krisis bekalan makanan di Mesir. Unjuran krisis itu berpunca daripada mimpi Firaun Mesir yang melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus-kurus.
Krisis bekalan beras yang merupakan fenomena jangka pendek memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Sehubungan itu, kerajaan telah merangka strategi jangka panjang untuk meningkatkan hasil makanan itu juga telah dirangka.
Dalam tempoh empat tahun ini, kerajaan menyasarkan peningkatan pengeluaran beras daripada 72 peratus kepada 90 peratus dengan meningkatkan bantuan infrastruktur, menyediakan kemudahan bekalan air, sistem saliran dan perparitan.
Rancangan jangka panjang itu memerlukan lebih daripada RM1 bilion dan dijangkakan para petani terbabit akan menerima bantuan dalam masa terdekat.
Monday, April 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment