Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (South Klang Valley Expressway) atau lebih dikenali dengan SKVE, apabila siap sepenuhnya pada 2012 bakal merangsang pembangunan ekonomi dan sosial di Lembah Kelang menerusi integrasi dengan jajaran lebuh raya utama yang lain di sekitar kawasan selatan Lembah Kelang.
Jalinan jajaran yang meliputi laluan utama dari Lebuh raya Utara Selatan ke bandar yang sedang pesat membangun seperti Putrajaya, Cyberjaya, Telok Panglima Garang, Pulau Carey dan Westport di Kelang dilihat bukan sahaja memudahkan dan mendekatkan perjalanan, tetapi juga menggiatkan aktiviti ekonomi yang bakal merangsang pembangunan kawasan-kawasan sekitar.
Lebuh raya sejauh 52 kilometer itu menyediakan hubungan terus dari kawasan selatan ke Pelabuhan Kelang dan pastinya, limpahan dari kemudahan pengangkutan itu dapat membantu pertumbuhan kawasan-kawasan baru termasuk kawasan perumahan dan industri di sekitar selatan Lembah Kelang. Selain itu, perjalanan dan pemanduan dari Klang dan Kajang kini menjadi lebih mudah dan lancar selain menjimatkan masa.
Keseluruhan jajaran SKVE bermula dari Persimpangan bertingkat di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), merentasi Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) serta cadangan Lebuh raya Pesisiran Pantai Barat sebelum berakhir di Jalan Lingkaran Pulau Indah di Kelang.
Limpahan daripada kepesatan sistem lebuh raya itu diharap dapat merealisasikan hasrat SKVE Holdings Sdn. Bhd., yang merupakan pemegang konsesi lebuh raya itu, untuk menjadikan bandar pentadbiran persekutuan Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Barat (Westport) muncul sebagai 'Segi Tiga Emas Negara'.
"Pembukaan SKVE menyerlahkan komitmen kerajaan dan SKVE Holdings untuk mewujudkan rangkaian hubungan jalan raya yang bukan sahaja moden, selesa dan ekonomikal, tetapi juga menghasilkan limpahan yang akan membangunkan kawasan sekitar dalam aspek ekonomi, sosial dan juga perniagaan," kata Ketua Pengawai Operasi SKVE Holdings Sdn. Bhd., Teoh Ah Guan.
Kejayaan pembinaan dua fasa sebelum ini, termasuk Fasa 1B yang akan dilancarkan pada Selasa ini (esok), menjadi pemacu kepada usaha untuk mempercepatkan dan menyiapkan pembinaan baki dua fasa SKVE selepas ini.
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor akan melancarkan dan membuka secara rasmi Lebuh raya SKVE di Plaza Tol Saujana Putra.
Sempena pembukaan rasmi Fasa 1B itu, lebuh raya berkenaan akan dibuka secara percuma selama sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna, golongan peniaga dan masyarakat umum untuk mengalami sendiri perjalanan dari Kajang ke Putrajaya, Cyberjaya, KLIA dan Shah Alam.
Apabila siap sepenuhnya pada tahun 2012, SKVE bakal memberi impak pembangunan, ekonomi dan sosial kepada Pulau Indah, sebuah pulau di pantai barat Selangor yang menempatkan Westport, pelabuhan kontena terbesar di rantau ini. Pemanduan dan perjalanan ke Pulau Indah, yang dikenali dengan kehidupan kampung yang santai dan dikelilingi dengan persekitaran menghijau yang mendepani Selat Melaka, juga bakal mudah diakses.
Pembinaan jajaran SKVE timbul ekoran cadangan awal oleh SKVE kepada Kerajaan (Unit Perancang Ekonomi) pada tahun 1995. Begitu pun, kegawatan ekonomi merencat pembinaan lebuh raya berkenaan dan terpaksa ditangguh.
Bagaimanapun, menyedari keperluan mendesak bagi mewujudkan rangkaian lebuh raya yang menghubungkan bandar di selatan Lembah Kelang termasuk Putrajaya (yang ketika itu sedang rancak dibina), kontrak pembinaan fasa pertama lebuh raya berkenaan (Seksyen 1A) diberi kepada SKVE Holdings atas dasar 'Turnkey, Reka dan Bina'. Seksyen 1A SKVE akhirnya siap dibina pada 2000.
Pada 29 Ogos 2006, SKVE Holdings Sdn. Bhd. diberikan hak konsesi oleh kerajaan Malaysia untuk memikul tanggungjawab penswastaan Lebuh raya SKVE, menerusi pembiayaan kewangan dari Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Bank Pembangunan Islam (IDB).
Secara keseluruhannya, pembinaan Lebuh raya SKVE terbahagi kepada empat fasa iaitu Seksyen 1A (sejauh 8km dan telah siap) dan Seksyen 1B sejauh 12km yang juga telah siap. Dua lagi fasa, iaitu Seksyen 2 sejauh 13km dan Seksyen 3 sejauh 19km, masing-masing dijangka siap pada 2011 dan 2012.
Persimpangan-persimpangan bertingkat yang strategik di sepanjang laluan juga memudahkan hubungan dengan persimpangan Uniten, Putra dan Wetlands dan sudah pun siap di bawah Seksyen 1A. Persimpangan Saujana Putra juga siap dibina di bawah Seksyen 1B. Empat persimpangan lain iaitu Tanjung Dua Belas, Teluk Panglima Garang, Pulau Carey dan Pulau Indah dijangka siap menjelang 2012. Enam plaza tol didirikan di mana dua terletak di laluan utama.
Para pengguna SKVE juga, buat pertama kali berpeluang menggunakan kad transit kitar semula mesra alam yang dikeluarkan oleh SKVE. Ini merupakan sebahagian usaha tanggungjawab sosial dalam memelihara alam sekitar dan bersempena pelancaran Seksyen 1B, SKVE menyediakan kad Touch N Go edisi terhad yang akan dijual kepada orang ramai.
Pengguna juga boleh memandu dalam keadaan penuh selamat kerana lebuh raya berkenaan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dan sistem pemantauan trafik yang maju seperti telefon kecemasan, CCTV dan juga sistem pesanan elektronik yang dihubungkan dengan Pusat Trafik SKVE.
"Tidak syak lagi, Lebuh raya SKVE bakal menyuntik satu suasana dan perkembangan baru yang bakal mengaktif dan mempercepat pertumbuhan kawasan kediaman dan industri di sekitar koridor lebuh raya berkenaan.
SKVE Holdings telah melakukan pelbagai kajian, perancangan dan usaha bagi memastikan semua aspek pembinaan lebuh raya ini dilakukan dengan berkesan dan memastikan impak paling minimum ke atas alam sekitar. Kami berjaya mengatasi pelbagai masalah semasa proses pembinaan, termasuklah pengambilalihan tanah, penempatan semula kemudahan dan akhir sekali, mereka lebuh raya yang selamat digunakan.
Tambahan kepada semua itu, kehadiran tasik-tasik asli di sepanjang laluan pasti memberikan suasana yang berlainan, baru dan nyaman kepada pengguna," kata Teoh.
DIKELUARKAN bagi pihak SKVE Holdings
Oleh AcaraKita Sdn. Bhd.
Sunday, June 27, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)