Satu rang undang-undang baru mengenai Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dibahaskan di Parlimen minggu ini bertujuan bagi memastikan pelan pembangunan wilayah tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menerusi rang undang-undang itu, satu akta khusus untuk ECER akan dikuatkuasakan sepenuhnya sebagai garis panduan pelaksanaannya.
Rang undang-undang itu perlu diluluskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai pengesahan kuasa ke atas majlis atau badan yang akan melaksanakan pelan pembangunan ECER.
Dengan adanya ‘akta’ itu, Majlis Pembangunan ECER akan ditadbir urus melalui Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan objektif utamanya mempercepatkan pelaksanaan pembangunan wilayah ini.
Majlis ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan ahlinya terdiri daripada Menteri Besar dari negeri-negeri terbabit.
Kerajaan akan melantik ketua pegawai eksekutif dan pegawai-pegawai untuk menguruskan pelan pelaksanaan projek. Kerajaan juga akan memastikan wujud sebuah jentera untuk menghubungkan ECER dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.
Kerjasama ini amat penting untuk pelarasan strategi dan dasar Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri serta pembangunan di ECER. Oleh itu Majlis Pembangunan ECER akan bertindak sebagai wakil untuk mewakili entiti kerajaan dalam menerima, memproses dan meluluskan sebarang yang berkaitan dengan kewangan.
Apabila ia diluluskan maka ia juga akan membantu melicinkan usaha untuk melaksanakan pelan yang menyasarkan pelaksanaan 227 projek bernilai RM112 bilion.
Matlamat utama ECER tidak lain bertujuan merapatkan jurang pembangunan dan membasmi kemiskinan di wilayah berkenaan. Ia sejajar dengan keprihatinan kerajaan untuk mengangkat taraf hidup penduduk di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang masih dibelenggu kemiskinan malah 35,319 isi rumah di sana dikategorikan sebagai miskin tegar.
ECER yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29 Oktober lalu akan mula dimajukan dengan pelaksanaan projek-projek pemangkin berimpak tinggi bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan penduduk wilayah tersebut.
Pelan pembangunan ECER membabitkan pelaburan dalam tempoh 12 tahun akan datang bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi di wilayah Pantai Timur.
Di bawah pembangunan ECER, banyak projek akan dilaksanakan bagi mempercepatkan pertumbuhan wilayah itu untuk dinikmati kira-kira 3.9 juta penduduk Pahang, Terengganu, Kelantan dan daerah Mersing di Johor.
Negeri-negeri dalam ECER mencatatkan antara pendapatan purata isi rumah paling rendah di Malaysia. Terengganu mencatatkan kemiskinan tertinggi di negara ini iaitu 15.4 peratus, diikuti Kelantan 10.6 peratus dan Pahang 4.9 peratus.
Rancangan pembangunan ECER bakal memberi sinar harapan kepada golongan berpendapatan rendah terutama yang masih dihimpit kemiskinan tegar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan bersama-sama mengecapi nikmat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri sekarang.
Untuk melaksanakan ECER, Kerajaan Pusat akan menyediakan 39 peratus daripada peruntukan pelaburan manakala pihak swasta (20 peratus), Inisiatif Pembiayaan Swasta (27 peratus) dan syarikat-syarikat milik kerajaan (14 peratus).
Lima kelompok pembangunan yang menjadi kunci kemakmuran wilayah itu telah dikenal pasti untuk dibangunkan iaitu pertanian, pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan serta pendidikan.
Sektor pertanian yang selama ini menjadi tulang belakang ekonomi sebahagian besar penduduk Pantai Timur akan diperkasakan secara komersial dengan teknologi moden serta pemasaran yang lebih mantap.
Projek-projek yang bakal dilaksanakan di ECER adalah memenuhi cita rasa rakyat yang membawa faedah kepada penduduk Pantai Timur.
Antara faedah, ia akan mengurangkan jurang di antara negeri-negeri Pantai Barat yang membangun dengan negeri-negeri Pantai Timur yang kurang membangun.
Tetapi yang lebih penting, ECER akan meningkatkan pendapatan isi rumah, membasmi kemiskinan tegar, mencipta peluang-peluang pekerjaan, membaiki perhubungan melalui lebuh raya, menghubungkan jalan raya luar bandar, rangkaian rel kereta api, pelabuhan dan infrastruktur lapangan terbang. Menjelang 1 Januari 2008 Kuala Terengganu bakal diiktiraf sebagai bandar raya.
Pelan pembangunan ECER juga akan memperbaiki kemudahan infrastruktur misalnya sistem pembuangan kumbahan dan sisa bahan pepejal, sistem perparitan dan pencegahan banjir, pengawalan pantai dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai jambatan merapatkan jurang digital. Landskap kawasan yang dimajukan akan berubah menjadi bandar-bandar baru.
Sudah tentu semua itu memerlukan tanah, dan di sini peluang untuk menambahkan nilai pada tanah simpanan Melayu.
Adalah menjadi harapan kerajaan supaya ECER akan menjadi wilayah ekonomi yang membangun melalui gabungan usaha sektor awam dan swasta, bukan hanya ditumpukan pada pembangunan fizikal tetapi juga mengubah pemikiran dan keupayaan diri penduduk Pantai Timur.
Semua ini mampu dicapai melalui pelan induk yang akan dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan ECER dalam tempoh masa 12 tahun. Ia juga memenuhi keperluan semua pelan untuk peringkat nasional, wilayah, negeri dan kawasan tempatan supaya menjadi kawasan pertumbuhan baru di samping menyebarkan kekayaan negara ke seluruh wilayah dan menyeimbangkan ekonomi di negara ini.
Tidak boleh dinafikan, semua ini adalah cetusan idea Perdana Menteri. Dalam rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan komited ke arah menyeimbangkan pembangunan wilayah sebagai salah satu matlamat utama pembangunan dalam Misi Nasional.
Tuesday, December 18, 2007
Subscribe to:
Posts (Atom)